AKSI Ndoye menjaringkan gol Switzerland. FOTO Reuters
AKSI Ndoye menjaringkan gol Switzerland. FOTO Reuters
Reuters

Frankfurt, Jerman: Jurulatih Switzerland Murat Yakin lega apabila membawa pasukannya ke peringkat 16 terakhir Euro 2024 walaupun pemainnya terlepas peluang menewaskan Jerman dalam aksi terakhir Kumpulan A, awal pagi tadi.

"Tekanan sangat tinggi tapi kami berjaya mendapat mata," katanya. "Ia keputusan yang adil."

Switzerland hampir mencipta kemenangan sensasi ke atas tuan rumah Jerman tetapi jaringan Niclas Fuellkrug pada masa kecederaan menjadikan kedudukan 1-1 sekali gus menyelamatkan skuad Julian Nagelsmann.

Switzerland mencipta kejutan apabila terlebih dahulu di depan hasil jaringan Dan Ndoye pada babak pertama.

"Ia permainan taktikal, kami banyak berlari," kata Yakin. "Strategi itu menjadi."

Keputusan itu membolehkan Jerman menduduki tangga teratas Kumpulan A manakala jaringan lewat penyamaan tuan rumah mengecewakan Switzerland yang hampir mencipta kejutan.

"Kami sepatutnya menang," kata Yakin. "Jika anda mendahului sehingga minit ke-92, ia mengecewakan tapi secara umumnya kami gembira. Saya gembira dengan pasukan kerana kami kekal tanpa kalah."

Keputusan seri itu bermakna Jerman mara ke peringkat 16 terakhir selaku juara Kumpulan A manakala Switzerland menamatkan kedudukan di tangga kedua.

Skuad tuan rumah sudah pun mengesahkan tempat lebih awal ke peringkat kalah mati selepas menewaskan Scotland dan Hungary. Switzerland pula yang seri 1-1 dengan Scotland awal minggu ini menang ke atas Hungary pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 7:30 AM