JULIAN Nagelsmann (tengah) ketika mengendalikan pasukan Jerman pada sesi latihan. FOTO AFP
JULIAN Nagelsmann (tengah) ketika mengendalikan pasukan Jerman pada sesi latihan. FOTO AFP
AFP

Munich: Tuan rumah Jerman akan memulakan kempen Euro 2024 awal pagi esok di Munich menentang Scotland, permulaan perjalanan yang diharapkan juara benua tiga kali itu akan berakhir dengan kemenangan pada aksi final di Berlin, 15 Julai ini.

Selepas mengharungi tiga kejohanan utama yang mengecewakan secara berturut-turut, termasuk tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022, pasukan bimbingan Julian Nagelsmann berdepan cabaran untuk meletakkan Jerman kembali di antara pasukan terkuat Eropah.

Tiga kemenangan dalam 11 perlawanan tahun lalu mencetuskan resah namun di bawah bimbingan Nagelsmann, persepsi negatif terhadap mereka semakin bertambah baik, dan terdapat peningkatan keyakinan daripada penyokong.

Ia adalah kejohanan utama pertama Jerman sebagai tuan rumah sejak Piala Dunia 2006, dan mereka berusaha untuk menebus semula maruah selaku antara pasukan hebat di Eropah.

"Saya rasa adalah normal untuk merasai sedikit tekanan sebelum kejohanan dan sebelum perlawanan penting seperti ini," kata Nagelsmann.

"Barisan pemain bersemangat dan mereka sangat dahagakan untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik berbanding kejohanan sebelumnya.

"Saya mahu penyokong memberi semangat kepada kami, kami mahu menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri," tambah Nagelsmann.

Jerman dijangka menduduki tempat teratas dalam Kumpulan A, yang juga menampilkan Hungary dan Switzerland, selepas menyaksikan kualiti yang mereka miliki termasuk pemain veteran, Toni Kroos hingga bintang muda, Florian Wirtz dan Jamal Musiala.

Kapten, Ilkay Gundogan, yang bermain pada dua Piala Dunia terakhir dan Euro 2020, di mana Jerman tersingkir pada pusingan 16 terakhir berkata, adalah penting bagi tuan rumah bermula dengan baik.

"Tiada perlawanan lain seperti yang pertama. Itulah sebabnya matlamat paling penting esok adalah untuk memenangi perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:40 PM