GUNDOGAN meraikan jaringannya ketika menentang Hungary. FOTO AFP
GUNDOGAN meraikan jaringannya ketika menentang Hungary. FOTO AFP
AFP

Stuttgart: Jamal Musiala dan Ilkay Gundogan menjaringkan gol ketika tuan rumah, Jerman menjadi pasukan pertama yang layak ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 selepas menewaskan Hungary 2-0 di Stuttgart sebentar tadi.

Musiala menjaringkan gol untuk perlawanan kedua yang berlaku pada pertengahan separuh masa pertama, tatkala ia menimbulkan kemarahan pemain Hungary selepas mendakwa berlakunya kekasaran sebelum jaringan dilakukan.

Gundogan meraih gol kedua pasukannya pada minit ke-67 ketika Jerman mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan A, memastikan mereka mara ke peringkat kalah mati sekurang-kurangnya sebagai salah satu pasukan terbaik di tempat ketiga.

Anak buah Julian Nagelsmann boleh menduduki tempat teratas apabila mereka menentang Switzerland di Frankfurt dalam perlawanan terakhir kumpulan mereka pada hari Isnin depan.

Hungary berdepan penyingkiran selepas kekalahan berturut-turut dan mesti menewaskan Scotland jika mereka ingin berpeluang mara ke pusingan 16 terakhir.

Jerman tidak mengejutkan selepas mengekalkan barisan yang sama ketika membelasah Scotland 5-1 dalam perlawanan pertama kejohanan itu, serta menamatkan badi tumpas aksi sulung kejohanan utama.

Jurulatih Hungary, Marco Rossi melakukan dua pertukaran berikutan kekalahan mengecewakan 1-3 kepada Switzerland, membawa masuk Marton Dardai dalam kalangan tiga pertahanannya dan memulakan Bendeguz Bolla di sayap kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 2:26 AM