AKSI  Fuellkrug menanduk gol penyamaan Jerman. FOTO AFP
AKSI Fuellkrug menanduk gol penyamaan Jerman. FOTO AFP
Reuters

Frankfurt, Jerman: Penyerang Niclas Fuellkrug masuk daripada bangku simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Switzerland yang membawa Jerman ke peringkat 16 terakhir Euro 2024, awal pagi tadi.

Ketika tuan rumah di ambang kekalahan, Fuellkrug muncul penyelamat dengan tandukan pada minit ke-2 masa kecederaan untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.

"Ia saat yang kami benar-benar perlukannya dan dia menyahut cabaran kami. Beraksi dalam kesebelasan atau masuk daripada bangku simpanan. Jadi, dia sangat bagus dengan peranannya," kata jurulatih Julian Nagelsmann kepada wartawan.

Dengan Kai Havertz beraksi sebagai penyerang tunggal, Fuellkrug masuk menggantikan Jamal Musiala pada minit ke-76 dan Nagelsmann berkata, penyerang sasa itu mungkin disenaraikan dalam kesebelasan pada peringkat 16 terakhir.

"Ia jaringan hebat, tidak mudah menerusi tandukan itu. Dia ada satu minggu lagi untuk memberikan apa sahaja ketika latihan. Kemudian kita lihat siapa akan kami turunkan di peringkat kalah mati dan bersiap untuk perlawanan itu," kata Nagelsmann.

Jerman selaku pendahulu kumpulan meraih tujuh mata manakala Switzerland di tangga kedua dengan lima mata dan Hungary dengan tiga mata di tangga ketiga. Scotland tercorot selepas hanya mengutip satu mata.

Jerman akan mengetahui lawan mereka selepas ini apabila England menentang Slovenia dan Denmark berdepan Serbia dalam saingan Kumpulan C pada awal pagi Rabu dengan pasukan di tangga kedua menentang tuan rumah di Dortmund pada 29 Jun.

"Kami ada lebih dua hari lagi untuk bersiap sedia, mungkin lawan tidak gembira mengenainya tetapi hanya pasukan terbaik menang Sabtu ini," kata Nagelsmann.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 7:05 AM