LLORIS mahu rakan sepasukannya berhati-hati berdepan Maghribi. FOTO AP
LLORIS mahu rakan sepasukannya berhati-hati berdepan Maghribi. FOTO AP
AFP

Doha: Maghribi yang sudah mencipta sejarah tersendiri mahu melakukan satu lagi kejutan apabila menentang penyandang juara Perancis pada separuh akhir Piala Dunia awal pagi esok tatkala Argentina sedang menanti pemenang antara kedua-dua negara di final.

Perancis sedar jika berjaya menumpaskan Maghribi, bakal menyaksikan mereka hanya dipisahkan dengan satu lagi kemenangan untuk menjadi pasukan pertama selepas 60 tahun dapat mempertahankan trofi.

Pasukan bimbingan Didier Deschamps diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menang di Stadium Al Bayt namun mereka bakal berdepan Maghribi yang hanya melepaskan satu gol serta menjadi pemusnah pasukan gergasi serta negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Maghribi sudah mengejutkan juara 2010, Sepanyol dan satu lagi pasukan pilihan, Portugal ketika dalam perjalanan menuju ke separuh akhir, ini menyebabkan ketua pasukan Perancis, Hugo Lloris menasihatkan rakan sepasukannya agar tidak mengambil mudah.

"Apabila sesebuah pasukan mampu menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal, dan menduduki tempat teratas kumpulan, ia adalah kerana mereka mempunyai kualiti di atas padang dan sudah pasti juga di luar padang, terutama dari segi semangat berpasukan.

"Mereka akan menjadi lawan yang hebat, dan selain itu akan ada suasana bermusuhan di stadium," kata Lloris.

Pasukan bimbingan Deschamps menghampiri kejayaan Piala Dunia kali ketiga dalam tujuh kejohanan terakhir tetapi sedar bahawa tiada pasukan dapat mengekalkan Piala Dunia sejak Brazil melakukan kejayaan itu pada 1962.

Perlawanan awal pagi esok akan menambah rencah memandangkan Perancis adalah kuasa kolonial Maghribi dan lebih daripada sejuta penduduk Maghribi tinggal di negara itu.

Senjata mereka yang tidak begitu rahsia awal pagi esok iaitu akan mendapat sokongan luar biasa daripada peminat di stadium dan di seluruh dunia Arab.

"Terdapat semangat popular di belakang mereka," kata Deschamps.

"Ia akan menjadi sangat bingit dan pemain saya mengenai diberi amaran mengenai perkara itu. Mereka tahu apa yang diharapkan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:58 PM