Jurulatih Perancis, Didier Deschamps. FOTO AP
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps. FOTO AP
Reuters

Doha: Perancis melangkah ke Separuh Akhir Piala Dunia menentang Maghribi dengan rasa hormat kepada lawan yang disifatkan pembunuh gergasi serta bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi penyokong lawan.

Penyokong Perancis pastinya tenggelam dengan sorakan ramai penyokong Maghribi di Stadium Al Bayt dan skuad Les Bleus sedar mereka akan menjadi perhatian sepanjang perlawanan.

"Mereka memanfaatkan sokongan yang kuat, saya sudah melihat perkara ini dan dari pemerhatian saya menjelaskan segalanya. Kami pasti ia akan menjadi terlalu bising, ia adalah sebahagian daripada konteks dan kami harus bersedia dengannya," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps pada sidang media hari ini.

"Baik untuk mereka. Kami sudah bersedia untuk perlawanan ini, juga untuk suasana perlawanan nanti."

Kapten Hugo Lloris berkata: "Kami harus bersedia untuk suasa bising pada perlawanan nanti."

Maghribi pastinya mengharapkan sokongan peminat mereka selepas menjadi negara Afrika pertama mara ke kelompok empat terbaik Piala Dunia, ia sebagai dorongan kuat ketika mereka menewaskan Belgium, Sepanyol dan Portugal sebelum ke separuh akhir, tetapi Perancis akan terus bersedia.

"Saya meminati dan menghormati apa yang mereka lakukan di sini, tiada apa yang mengubah pendirian saya, mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat teratas." kata Lloris.

"Mereka mempunyai kualiti yang baik di dalam dan luar padang. Suasananya akan menjadi bising tetapi kami bersedia, tenang. Kami harus bersedia untuk menggandakan usaha kami sekali lagi."

Maghribi dengan taktikal kompak 4-1-4-1 dan kesabaran menjadi kunci kepada Perancis, yang berharap menjadi pasukan pertama menjaringkan gol berdepan mereka ketika skuad Singa Atlas itu hanya melepaskan gol menerusi jaringan sendiri berdepan Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 8:34 PM