HERNANDEZ meraikan jaringannya untuk Perancis. FOTO Reuters
HERNANDEZ meraikan jaringannya untuk Perancis. FOTO Reuters
AFP

Al Khor: Perancis menamatkan impian Maghribi di Piala Dunia apabila gol menerusi Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani memberi kemenangan 2-0 untuk juara bertahan itu dalam aksi separuh akhir, hari ini sekali gus bakal bertemu Argentina diketuai Lionel Messi pada final, Ahad ini.

Perancis mematikan langkah lawan mereka seawal minit ke-5 apabila Hernandez menjaringkan gol di Stadium Al Bayt di sebalik penyokong Maghribi lebih ramai memenuhi stadium.

Tetapi Maghribi, pasukan Afrika dan Arab pertama mara ke pusingan empat terakhir di Piala Dunia, terus berjuang walaupun kehilangan pemain utama akibat kecederaan.

Namun pemain gantian, Kolo Muani mengesahkan kemenangan untuk Les Bleus dengan gol kedua minit ke-79.

Ia adalah final Piala Dunia keempat Perancis dalam tujuh edisi terakhir dan mereka berharap untuk menjadi pasukan pertama sejak Brazil 60 tahun lalu yang dapat mempertahankan kejuaraan apabila bertemu Argentina di Stadium Lusail, Ahad ini.

"Terdapat banyak emosi dan kebanggaan di dalam pasukan ini," kata jurulatih Didier Deschamps, yang menyaksikan pasukannya menerima ucapan tahniah oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

"Ia adalah satu langkah penting tetapi masih ada satu perlawanan lagi."

PEMAIN Maghribi, Yahia Attiyat Allah memujuk rakan sepasukannya selepas tewas pada aksi final. FOTO AP
PEMAIN Maghribi, Yahia Attiyat Allah memujuk rakan sepasukannya selepas tewas pada aksi final. FOTO AP

Perlawanan itu mungkin akan dianggap sebagai pertarungan antara Messi dan rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe, tetapi sebenarnya ia bukanlah tertumpu kepada individu tertentu sahaja.

Sebaliknya kemenangan Perancis adalah hasil usaha berpasukan ketika menentang Maghribi yang kini akan bertemu Croatia dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini.

Maghribi mara ke separuh akhir selepas menewaskan Belgium di peringkat kumpulan dan kemudian menumbangkan Sepanyol serta Portugal.

Tetapi sama ada mereka boleh mengulangi kejayaan itu apabila menentang penyandang juara adalah jauh berbeza selepas jurulatih, Walid Regragui dilanda dengan isu kecederaan pemain.

"Kami sudah memberikan segala-galanya, itu perkara yang paling penting. Pemain berjuang sehingga tamat perlawanan," kata Regragui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 6:13 AM