Jurulatih Perancis, Didier Deschamps. FOTO AP
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps. FOTO AP
AFP

Doha: Didier Deschamps berkata Perancis mengambil sebanyak mungkin langkah pencegahan untuk menghalang 'virus' dari merebak serta mengganggu persediaan mereka bagi final Piala Dunia berdepan Argentina.

Gandingan pertahanan tengah Raphael Varane dan Ibrahima Konate terlepas latihan pada Jumaat kerana tidak sihat, disamping pemain sayap, Kingsley Coman.

Pemain tengah, Adrien Rabiot dan pertahanan, Dayot Upamecano tidak beraksi ketika kemenangan Separuh Akhir ke atas Maghribi.

"Kami cuba mengambil langkah pencegahan sebolehnya, untuk perkara yang diperlukan dan menanganinya," kata jurulatih Perancis itu pada sidang media di Doha menjelang perlawanan final.

"Sememangnya adalah lebih baik perkara ini tidak berlaku tetapi kami menanganinya sebaik mungkin dengan kakitangan perubatan kami."

Deschamps dan kaptennya, Hugo Lloris kedua-duanya menegaskan mereka tidak dapat memaklumkan mengenai keadaan kesihatan terkini, dengan pasukan bersedia menjalani latihan sekali lagi hari ini.

"Saya dalam keadaan baik. Pemain dalam keadaan baik, saya keluar agar awal pagi ini jadi mereka masih tidur," tambah Deschamps.

"Saya cuba mengawal situasi dengan sebaik mungkin dan kekal tenang dan fokus.

"Saya akan mendapatkan lebih banyak maklumat lewat petang hari ini dan memikirkan mengenainya malam ini dan mungkin esok. Dan sudah tentu kami tidak sabar untuk melakukan persediaan bagi perlawanan penting ini."

Pemain, staf dan beberapa sumber rapat lain dalam pasukan mengalami beberapa simptom yang menjejaskan persediaan pasukan sejak beberapa hari, termasuk demam, sakit perut dan pening.

Beberapa langkah pencegahan sudah diambil di hotel pasukan termasuk beberapa pemain menjalani kuarantin kendiri, tetapi ujian Covid-19 tidak lagi dikenakan oleh badan induk dunia FIFA.

Perancis meletakkan sasaran untuk menjadi pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 mengekalkan kejuaraan Piala Dunia.

Mereka akan berdepan Argentina yang berusaha memenangi trofi di mana ia seperti perlawanan terakhir buat Lionel Messi pada kejohanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 8:04 PM