Pemain Maghribi meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar. Mereka akan berdepan Perancis awal pagi Khamis. FOTO AP
Pemain Maghribi meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Piala Dunia di Qatar. Mereka akan berdepan Perancis awal pagi Khamis. FOTO AP
AFP

Doha: Penyandang juara, Perancis akan merancang strategi berdepan pasukan penuh kejutan, Maghribi di separuh akhir Piala Dunia manakala Argentina diketuai Lionel Messi melakukan persediaan menentang Croatia.

Skuad kendalian Didier Deschamps mengatasi England dalam aksi suku akhir mendebarkan di Qatar untuk bergerak selangkah lebih dekat bagi menjadi pasukan pertama mengekalkan trofi dalam tempoh 60 tahun.

Skuad Les Bleus akan berdepan Maghribi di Stadium Al Bayt pada awal pagi Khamis selepas pasukan Afrika itu menyingkirkan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo untuk menjadi pasukan Afrika pertama dalam sejarah mara dalam kelompok empat terbaik.

Perancis mencatat keputusan kedua terbaik untuk mengelak badi berpanjangan menentang skuad England kendalian Gareth Southgate dan lega selepas Harry Kane gagal menyempurnakan penalti pada lewat permainan ketika kemenangan 2-1.

Kane yang juga Kapten England menyamakan kedudukan selepas Aurelien Tchouameni menjaringkan gol pembukaan untuk Perancis dan mengatasi rakan sepasukan di Tottenham, Hugo Lloris menerusi sepakan penalti.

Jaringan itu meletakkan Kane menyamai Wayne Rooney sebagai Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman buat England.

Tandukan Olivier Giroud memastikan Perancis mendahului pada minit ke-78 sebelum England memperoleh talian hayat namun kali ini sepakan Kane tersasar dan memusnahkan peluang England.

Deschamps yang membimbing kejayaan Perancis di Rusia pada 2018, berkata skuad kendaliannya menunjukkan 'keberanian dan jiwa' untuk menewaskan pasukan muda England.

"Pasukan ini mempunyai kualiti, tetapi terdapat juga mentaliti yang bagus dan fokus dalam pemikiran.

"Kami memberikan mereka sedikit peluang dengan dua penalti, tetapi ia mengenai keberanian dan jiwa yang mendorong kepada keputusan ini," katanya.

Deschamps, yang turut memenangi Piala Dunia sebagai pemain, berkata lawan Perancis di separuh akhir Maghribi berada di ranking 22 di Dunia, berhak dihormati dan mengakui pencapaian mereka.

"Mereka adalah antara pasukan yang kami tidak jangkakan berada di sana, tetapi ia adalah kejutan."

Hanya peminat tegar Maghribi sahaja yang mungkin berani membuat taruhan bahawa pasukan mereka mampu mara ke separuh akhir Piala Dunia sebelum sepak mula kejohanan itu.

Skuad Singa Atlas menewaskan Portugal, 1-0 menerusi tandukan Youssef En-Nesyri pada babak pertama, untuk melakar sejarah pasukan Afrika pertama melangkah ke kelompok empat terbaik Piala Dunia.

"Kami menggunakan segala yang ada, kami masih mempunyai pemain yang mengalami kecederaan.

"Saya memberitahu kepada pemain sebelum perlawanan kami harus mencipta sejarah untuk Afrika. Saya sangat, sangat gembira." kata jurulatih Maghribi, Walid Regragui.

Tatkala pasukan kebangsaan mereka mencipta sejarah, sekumpulan peminat berkumpul di Casablanca dan menjerit "layak! layak!"

Terdapat juga keraian di beberapa negara Arab dan di Eropah ketika Maghribi juga menjadi negara Arab pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 7:50 PM