Kylian Mbappe meraikan kejayaan Perancis mara ke separuh akhir Piala Dunia. FOTO AP
Kylian Mbappe meraikan kejayaan Perancis mara ke separuh akhir Piala Dunia. FOTO AP
Agensi

Doha: Bintang Perancis, Kylian Mbappe kelihatan ketawa selepas Kapten England, Harry Kane merembat melepasi palang gol ketika mengambil sepakan penalti kedua tatkala juara dunia itu mengesahkan kemenangan 2-1 dalam saingan suku akhir di Qatar.

Kane terdahulu menyamakan jaringan buat skuad The Three Lions menerusi sepakan penalti sekali gus menyamai rekod Wayne Rooney sebagai penjaring terbaik sepanjang zaman England. Perancis memperoleh gol pembukaan pada babak pertama hasil rembatan Aurelien Tchouameni.

Kane, 29, diberikan tugas untuk menyempurnakan penalti sekali lagi pada minit ke-84, hanya beberapa minit selepas jaringan menerusi tandukan Olivier Giroud membolehkan Perancis di depan.

Kane berdepan rakan sepasukannya di Tottenham, Hugo Lloris buat kali kedua pada penghujung babak permainan tetapi penjaga gol itu tidak perlu bekerja keras selepas kapten England menyepak bola melepasi palang gol.

Kegagalan menyempurnakan penalti itu menghadirkan reaksi spontan Mbappe, dengan bintang Perancis itu kelihatan ketawa seperti mengejek apabila visual berkenaan disiarkan ketika siaran langsung.

Mbappe pernah kecewa ketika mengambil sepakan penalti bersama Perancis, apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti penting ketika negaranya berdepan kekalahan mengejut ke atas Switzerland di Euro 2020.

England hampa kerana gagal menyempurnakan penalti dengan skuad kendalian Gareth Southgate tidak berhasil mencari gol penyamaan lewat permainan pada aksi suku akhir.

Kane pernah ditanya ketika kemaraan pasukannya mengenai potensi berdepan rakan sepasukannya di Tottenham, Lloris jika England diberikan penalti.

Kane yang kini terlepas tiga penalti musim ini, mengakui dia jarang berdepan Lloris untuk sepakan penalti pada sesi latihan.

"Biasanya penjaga gol yang memulakan permainan tidak akan dikerah sehari sebelum perlawanan.

"Berdepan mana-mana penjaga gol, saya hanya memberi tumpuan menghasilkan gol dan rutin saya adalah menjalani latihan seperti biasa." kata Kane.

Perancis akan berdepan Maghribi ketika skuad kendalian Didier Deschamps memburu peluang untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Rusia pada 2018.

Maghribi mengejutkan Portugal 1-0 untuk menjadi negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 9:17 PM