KSSA juga tidak hanya kepada stadium semata-mata kerana kawasan berkeluasan 80 hektar itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan. FOTO Bernama
KSSA juga tidak hanya kepada stadium semata-mata kerana kawasan berkeluasan 80 hektar itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Shah Alam: Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi boleh dikatakan antara yang tercanggih di negara ini dengan dilengkapi pelbagai kemudahan bukannya hanya untuk bola sepak semata-mata namun turut memberi fokus kepada aktiviti lain kelak.

Walaupun kos pembinaan masih lagi dalam peringkat perbincangan, stadium berkenaan yang dibina berkonsepkan venue terkenal di eropah mempunyai ciri terkini terutamanya membabitkan padang yang menjadi elemen penting dalam memastikan perlawanan berlangsung tanpa sebarang masalah.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MRCB Mohd Imran Mohamad Salim, stadium dengan kapasiti maksimum tempat duduk 40,000 akan mempunyai tiga jenis padang yang boleh ditukarkan mengikut kesesuaian penggunaannya bagi memastikan ia tidak rosak.

Padang terbabit boleh diganti dalam tempoh 14 jam bagi memastikan kualiti tidak terjejas selain boleh ditukar kepada permukaan konkrit jika mahu menggunakannya bagi tujuan lain.

Hal ini, secara tidak langsung masalah padang menjadi seperti 'bendang' jika keadaan hujan lebat dapat diatasi sekali gus perjalanan perlawanan bola sepak berjalan tanpa sebarang masalah.

"Sistem padang yang boleh ditukarkan mengikut kesesuaian membantu menangani masalah air bertakung yang sering membelenggu sesetengah venue di negara ini.

"Malah stadium itu nanti akan mempunyai tiga jenis padang yang boleh ditukar mengikut kesesuaian acara, baik padang rumput, padang sintetik mahupun penggunaan lantai konkrit untuk tujuan lain seperti penganjuran konsert.

Selain padang yang akan menjadi daya penarik kepada stadium terbabit, konsep venue berkenaan kali ini juga menyaksikan tiada lagi trek larian seterusnya jarak antara penonton dan padang tidak terlalu jauh.

"Stadium mempunyai jarak antara penonton dan padang cukup jauh menyebabkan kita mengubah konsep berkenaan supaya orang ramai yang hadir 'cukup dekat' menyaksikan perlawanan kelak.

"Perubahan yang dilakukan terhadap venue berkenaan juga mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa)," katanya.

Sementara itu, Mohd Imran berkata, KSSA juga tidak hanya kepada stadium semata-mata kerana kawasan berkeluasan 80 hektar itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang pastinya menggalakkan orang ramai untuk melakukan aktiviti beriadah.

"Antara pembangunan yang dicadangkan untuk kompleks berkenaan meliputi pembinaan hotel, tapak komersial, stadium tertutup serta taman awam.

"Turut berada berhampiran venue adalah pengangkutan awam sekali gus menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kemudahan itu bagi mengelak kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 12:31 PM