JIKA padang SNBJ rosak teruk, FAM masih boleh mengambil langkah alternatif dengan menganjurkan aksi kelayakan itu di venue lain. FOTO OSMAN ADNAN
JIKA padang SNBJ rosak teruk, FAM masih boleh mengambil langkah alternatif dengan menganjurkan aksi kelayakan itu di venue lain. FOTO OSMAN ADNAN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semakin samar apabila dikhabarkan mungkin akan berlangsungnya satu lagi konsert yang bakal menghimpunkan puluhan ribu penonton awal tahun depan.

Hal ini kerana, ketika ini sudah bertebaran di media sosial bahawa padang SNBJ mungkin sekali lagi 'dihenyak' apabila konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari tahun depan.

Perkara membimbangkan ketika ini adalah dalam tempoh sebulan stadium keramat Harimau Malaya itu akan menjadi venue untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman, pada 26 Mac.

Berdasarkan kepada situasi berkenaan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hanya mempunyai tempoh sebulan untuk pastikan padang berada pada tahap terbaik untuk skuad Harimau Malaya beraksi tanpa sebarang masalah.

Walaupun, tempoh masa itu dikatakan mencukupi namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengelak pisang berbuah dua kali dengan mencari venue alternatif lain bagi memastikan isu padang tidak lagi menjadi topik hangat di kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, jika padang SNBJ rosak teruk, FAM masih boleh mengambil langkah alternatif dengan menganjurkan aksi kelayakan itu di venue lain seperti di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) ataupun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Mengikut rekod, perlawanan menentang Oman di laman sendiri cukup penting buat skuad bimbingan Kim Pan-gon dalam mengekalkan momentum cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Skuad Harimau Malaya ketika ini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan selepas menumpaskan Kyrgyzstan 4-3 sebelum mengesahkan tiga mata dengan mengalahkan Taiwan 1-0.

Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac 2024 dan di tempat sendiri enam hari kemudian, selepas itu akan bertemu Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum kembali menerima kunjungan Taiwan pada 11 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 3:04 PM