STUART bersama  Ketua Pegawai Eksekutif Origina, Fatin Diana Mohd Zain pada sidang media selepas majlis penyerahan tajaan produk minuman Origina di Hotel Le Meridien Petaling Jaya.
STUART bersama Ketua Pegawai Eksekutif Origina, Fatin Diana Mohd Zain pada sidang media selepas majlis penyerahan tajaan produk minuman Origina di Hotel Le Meridien Petaling Jaya.
Syazwan Msar


Petaling Jaya: Penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada perlawanan liga domestik tidak akan dipraktikan dalam waktu terdekat ini termasuklah pada aksi final Piala Malaysia kelak.

Hal ini kerana, menurut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) penggunaan VAR ketika ini dilihat akan membebankan pasukan berdasarkan kepada kos yang tinggi selain kemudahan infrastruktur dan jaringan internet agak terhad.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam juga melihat jika VAR hanya dilaksanakan di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan final Piala Malaysia adalah 'tidak adil' memandangkan venue lain tidak mampu mempraktikannya.

Beliau berkata, ketika ini MFL dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan dengan mempertingkatkan lagi keupayaan pengadil dan turut mengambil insiaitif lain dalam usaha memastikan mutu pengadilan di liga domestik termasuk ketika aksi final tidak berhadapan sebarang masalah.

"Isu VAR ini bukan saja untuk satu perlawanan semata-mata namun turut membabitkan aksi lain. Untuk menggunakan VAR seperti sedia maklum kosnya terlalu mahal selain kemudahan di stadium juga terhad.

"Ketika ini, banyak perbincangan dalaman dilakukan termasuk mengadakan kursus untuk pengadil selain turut ada cadangan lain bagi mempertingkatkan kualiti pengadilan.

"Jika hanya perlu digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah tidak adil kerana kita perlu juga lihat venue lain seperti di Kota Bharu (Stadium Muhammad IV) dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI)," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani penaja baru syarikat minuman Origina untujk Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023, di sini, hari ini.

Mengikut rekod, VAR kali pertama digunakan di Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang kelab Oman, Al-Seeb pada 22 Oktober lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejayaan penggunaan VAR itu di stadium keramat Harimau Malaya itu menyaksikan penggunaanya boleh dipraktikan pada masa akan datang terutama membabitkan perlawanan penting seperti Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 10:14 PM