Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz (dua kiri) bersama hadiah pada sidang media Kejohanan Open Mixed Fours bersama menteri dan media. FOTO Saifullizan Tamadi
Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz (dua kiri) bersama hadiah pada sidang media Kejohanan Open Mixed Fours bersama menteri dan media. FOTO Saifullizan Tamadi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM) tetap dengan pendirian untuk 'melawan' supaya venue Pusat Boling Padang Nasional Bukit Kiara di sini, dapat dikekalkan pada masa akan datang.

Presidennya Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, lokasi pusat latihan boling padang itu cukup strategik sekali gus memudahkan atlet Malaysia menjalani latihan tanpa sebarang masalah.

Malah, beliau berkata, venue berkenaan turut mempunyai memori indah terutama berjaya melahirkan atlet yang menyumbang banyak pingat untuk negara selain lokasi pertandingan untuk kejohanan antarabangsa.

Walaupun status pajakan venue berkenaan masih belum diketahui, namun beliau berharap perkara terbabit dapat dipertimbangkan oleh kerajaan demi kemajuan sukan boling padang negara.

"Kita sebenarnya akan 'fight' untuk kekalkan tapak ini kerana bukan saja ada nostalgia namun cukup strategik. Tempat ini juga sesuai sebagai tumpuan untuk mempopularkan sukan boling padang terutama sebagai pusat latihan dan juga pertandingan.

"Kita harapkan kerajaan dapat pertimbangkan kembali untuk kekalkan tempat ini sebagai pusat aktiviti boling padang," katanya.

Mengikut rekod, venue di Bukit Kiara banyak digunakan untuk menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998, selain Kejohanan Boling Padang Asia Pasifik pada 1999 dan 2009.

Sebelum ini, terdapat desas-desus berkaitan tapak venue boling padang di Bukit Kiara itu kemungkinan akan dibangunkan oleh pihak swasta kelak.

Secara tidak langsung menyebabkan pasukan boling padang negara bakal berdepan masalah ketiadaan lokasi sesuai untuk menjalani latihan di sekitar Lembah Klang sekali gus menyukarkan mereka membuat persiapan rapi sebelum menyertai sebarang kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:49 PM