KAWASAN beriadah untuk masyarakat.
KAWASAN beriadah untuk masyarakat.
KSSA merangkumi pembangunan kawasan seluas kira-kira 70 hektar  bakal tersergam dengan reka bentuk futuristik, inovatif dan teknologi hijau.
KSSA merangkumi pembangunan kawasan seluas kira-kira 70 hektar bakal tersergam dengan reka bentuk futuristik, inovatif dan teknologi hijau.
Mahaizura Abd Malik dan Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dimulakan semalam bakal menjadi ikon baharu Selangor bertaraf dunia.

Apabila siap sepenuhnya pada 2029, KSSA merangkumi pembangunan kawasan seluas kira-kira 70 hektar akan tersergam dengan reka bentuk futuristik, inovatif dan teknologi hijau yang boleh menarik pelancong dalam dan luar negara.

Pembangunan KSSA yang tidak meminggirkan nilai sentimental perlu dilakukan kerana usaha baik pulih dan kos penyelenggaraan venue sedia ada jauh lebih tinggi.

Lebih menarik, KSSA akan menjadi satu-satunya pusat bersepadu gaya hidup baharu dengan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung yang memenuhi aspirasi dan keperluan seisi keluarga serta segenap lapisan masyarakat dari pelbagai peringkat usia.

DESTINASI inklusif untuk semua golongan rakyat.
DESTINASI inklusif untuk semua golongan rakyat.

Pembangunan ini direka khusus sebagai destinasi yang inklusif untuk semua golongan daripada menyediakan kawasan permainan kanak-kanak, ruang rehat keluarga sehingga menitik beratkan kepada aksesibiliti buat warga emas dan juga orang kurang upaya (OKU).

Istimewanya, stadium utama menjadi keutamaan pembangunan dalam fasa satu yang menampilkan ciri lebih canggih pertama di Asia Tenggara seperti retractable pitch (padang boleh alih) bagi memudahkan penyelenggaraan dan membolehkan acara seperti badminton, hoki, tenis serta aktiviti lain termasuk program-program lain yang boleh diadakan di dalam stadium tanpa merosakkan padang.

Dalam fasa sama yang dijangka siap penghujung 2026, plaza parkir dan terminal bersepadu akan dibina untuk menghubungkannya dengan stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) bagi memudahkan mereka yang menggunakan pengangkutan awam datang ke kompleks itu.

Pada masa sama, ruang parkir bertingkat disediakan, selain pelbagai restoran, kafe dan gerai masakan tempatan hingga antarabangsa.

Pembangunan fasa kedua pula menyaksikan pembinaan teater tertutup untuk acara persembahan, kesenian dan kebudayaan, sekali gus dapat menarik minat pelancong dan mempromosikan warisan budaya Selangor.

ACARA persembahan tarik pelancong.
ACARA persembahan tarik pelancong.

Fasa ini yang dijadualkan siap pada 2028 merangkumi pembinaan ruang niaga dan kemudahan komersial yang membuka peluang ekonomi kepada golongan peniaga kecil dan sederhana.

Selain itu, kawasan rekreasi dibangunkan dalam fasa ini dengan konsep terbuka yang menyediakan ruang untuk bersantai, berkelah atau bersenam untuk golongan berkeluarga dan rakan mengisi masa lapang.

Pada fasa ketiga, fokus diberi kepada kemudahan tambahan dan infrastruktur seperti hotel berkonsepkan business hotel, sekali gus membuka peluang menarik pelaburan serta menjadi destinasi tumpuan pelancong.

RUANGAN di dalam stadium.
RUANGAN di dalam stadium.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga akan membina kolam takungan bawah tanah seluas 10 ekar dalam usaha untuk menyelesaikan masalah banjir di Seksyen 13. Dengan semua fasiliti dijangka siap hujung 2029, matlamat KSSA adalah menawarkan manfaat holistik sukan, ekonomi, sosial dan kebudayaan di bawah satu bumbung.

Dalam jangka panjang pula, KSSA mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan ekonomi setempat.

Jika mengikut perancangan, tidak mustahil matlamat pembangunan projek ini memberi peluang terbaik kepada KSSA untuk berdiri sendiri dengan menjana pendapatan yang lestari dan mampan.

RUANG perniagaan rancakkan ekonomi.
RUANG perniagaan rancakkan ekonomi.

Arena baharu Selangor

Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang bakal menjadi arena baharu Selangor mempunyai beberapa fokus yang dititikberatkan dalam pembinaannya.

Antaranya kelestarian alam, ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan, penyelesaian isu banjir dan mengambil perhatian terhadap elemen bunyi, debu serta trafik terhadap penduduk sekitar.

Berikut pandangan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Ts Saipolyazan M Yusop.

Kelestarian alam

Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG), ada sekurang-kurangya tiga elemen yang ditekankan dalam pembangunan KSSA.

Pertama adalah SDG 7: Tenaga Bersih dan Mampu Milik. Ia melalui penggunaan tenaga solar atau tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) seperti penyediaan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) bagi memudahkan orang ramai selari dengan hasrat kerajaan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mana secara tidak langsung Selangor juga menyumbang kepadanya.

Kedua adalah SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan yang menyediakan fasiliti-fasiliti boleh akses dan mesra alam.

Ketiga SDG 13: Tindakan Iklim. Melaluinya, kita kurangkan jejak karbon dengan penggunaan teknologi hijau dan bahan binaan mesra alam termasuk menggunakan peralatan cekap tenaga dalam pemasangan atau pembinaan stadium ini.

Memacu ekonomi masyarakat setempat

Sejak dahulu lagi, stadium ini dikenali oleh masyarakat setempat dengan bazar, Bazarena (Pasar Ahad) dan aktiviti sukan.

Oleh yang demikian, kita sediakan ruang perniagaan bersesuaian kepada peniaga.

Kita juga jangka adanya hotel dan hab pengangkutan bersepadu yang mana jumlah kehadiran masyarakat di kawasan ini akan meningkat walaupun tanpa ada perlawanan bola sepak dan aktiviti sukan.

Taman rekreasi, Bazarena (Pasar Ahad) dan kedai-kedai yang ada juga akan mengundang ramai pengunjung.

Di samping itu, fasiliti luar digunakan sebagai pusat latihan bola sepak dan aktiviti sukan dapat menarik anak muda dan ibu bapa mereka.

Insya-Allah kita jangka peluang perniagaan bagi peruncit dalam kompleks diberi kepada peniaga di sekitar atau peniaga yang berminat.

Apabila adanya pergerakan manusia atau penonton untuk datang ke kawasan tersebut, limpahan itu akan dirasai penduduk sekitar.

Peningkatan terhadap permintaan hotel bukan sahaja melibatkan Seksyen 13 (Shah Alam), tetapi di sekitar Shah Alam juga akan meningkat secara tidak langsung.

Jika sekarang ini orang kata tiada aktiviti waktu malam, tetapi dengan adanya kompleks ini dan pembangunan bersepadu maka ia akan hidup dengan aktiviti.

Dapat tingkatkan ekonomi setempat, beri pulangan atau pendapatan tambahan kepada penduduk sekitar.

Peluang pekerjaan

Kita jangka dengan adanya hotel di kawasan ini, ia akan menyediakan peluang pekerjaan di pelbagai peringkat .

Dalam bidang sukan, peluang pekerjaan seperti marsyal turut ditawarkan.

Kompleks sukan itu sendiri menawarkan pekerjaan dalam bidang teknikal dan industri baharu seperti industri hijau atau solar.

Peluang pekerjaan ditawar di bidang peruncitan, hab pengangkutan, stesen transit aliran ringan (LRT), teater tertutup, teknikal, pemasaran, makanan dan minuman kepada rakyat Selangor terutamanya, serta peluang kepada mereka yang kompeten untuk bekerja dalam bidang terbabit di Shah Alam.

Aspek kebudayaan

Di Selangor, ada banyak aktiviti kebudayaan. Apabila kita sedia teater tertutup, ia menyediakan ruang pertunjukan kebudayaan dan seni yang boleh dimanfaatkan penggiat seni, tradisi dan budaya di Selangor atau Malaysia.

Apabila aktiviti kebudayaan dipergiatkan, maka ia memberi peluang kepada penggiat ini untuk mempromosi aktiviti ini kepada masyarakat seperti di sekolah dan dapat menarik lebih ramai lagi masyarakat, anak-anak atau penggiat lain untuk menggunakan kemudahan di kompleks ini untuk dimanfaatkan bagi tujuan pengembangan program kebudayaan.

Dengan sokongan kerajaan negeri yang menyediakan geran tertentu untuk aktiviti seni, saya yakin ia dapat dilaksana dengan teratur dan selesa di KSSA.

Tarikan pelabur

Semasa perancangan KSSA ini, kita melihat peluang untuk pelabur. Sebagai contoh apabila ada pengangkutan khas, maka akan ada kemudahan tertentu boleh disediakan kepada pelabur.

Saya sebut tentang hak penamaan, di luar negara, stesen LRT juga dijual sebagai hak penamaan, stadium apatah lagi.

Pelbagai nama daripada jenama terkenal di dunia atau syarikat penerbangan mengambil stadium ini sebagai peluang untuk mereka mempromosi jenama mereka.

Selain itu, apabila kita mahu menjadi stadium ini sebagai stadium 'hijau', telah banyak pihak datang untuk melihat potensi bagi meletakkan jenama atau pelaburan mereka.

Sebagai contoh, apabila teknologi hijau atau tenaga boleh diperbaharui diuar-uarkan sebagai sebahagian elemen projek, syarikat yang ada teknologi ini akan datang berjumpa kita bercakap tentang solar, bercakap tentang bateri untuk dipasang di stadium ini.

Kita juga nampak ada syarikat sukan besar yang berminat.

Daripada sukan, teknologi, tenaga boleh diperbaharui, (syarikat) kereta EV datang dan mula tanya kepada kita bagaimana mereka ingin terlibat.

Ia dapat beri manfaat bukan sahaja kepada masyarakat dan pelabur yang berminat serta jenama tertentu yang ingin memasarkan produk di kompleks ini.

Ini antara elemen untuk memastikan projek ini mampan dan memberi pulangan kepada kerajaan negeri di masa akan datang.

Solusi masalah banjir

Sebahagian tanah di kompleks ini iaitu 10 ekar diserah kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk projek kerajaan Persekutuan bagi dibina projek mitigasi banjir.

Saya dimaklumkan ia dalam proses penganugerahan untuk diberi kepada kontraktor dan dilaksanabersekali dengan projek ini.

Kita dapat selesaikan keseluruhan masalah di kawasan tersebut daripada akses, pengangkutan dan isu banjir di mana Seksyen 13 ini sangat sinonim seperti yang berlaku pada 2021.

Fokus isu bunyi, debu dan trafik

Antara perkara yang kita lihat sebelum pembangunan KSSA adalah elemen bunyi, debu, kawalan trafik dan tiada mendapan bergerak (jika hujan) yang mengganggu penduduk sekitar.

Semua elemen ini dimasukkan dalam penyerahan kita kepada pihak berkuasa tempatan termasuk kajian trafik supaya kalau tidak ada gangguan sifar, sekurang-kurangnya seminimum mungkin dari segi gangguan bunyi, habuk dan sebagainya agar tidak berlaku kepada penduduk sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 10:01 AM