KETIKA ini pegawai AFC termasuk komisioner perlawanan akan mengadakan perbincangan sama ada mahu meneruskan perlawanan di SNBJ atau sebaliknya. FOTO Bernama
KETIKA ini pegawai AFC termasuk komisioner perlawanan akan mengadakan perbincangan sama ada mahu meneruskan perlawanan di SNBJ atau sebaliknya. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah perlawanan terakhir membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Bangladesh akan berpindah ke venue lain?.

Situasi berkenaan ketika ini bertiup kencang memandangkan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) rosak teruk sekali gus kemungkinan tidak sempat diperbaiki menjelang sepak mula perlawanan pada Selasa ini.

Malah, Arena Metro yang menghubungi Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul mengesahkan perkara itu boleh berlaku jika SNBJ tidak lagi bersesuaian untuk digunakan pada perlawanan terakhir kelak.

Beliau berkata, ketika ini pegawai AFC termasuk membabitkan komisioner perlawanan akan mengadakan perbincangan sama ada mahu meneruskan perlawanan di SNBJ atau sebaliknya.

Katanya, perbincangan terbabit penting bagi memastikan baki dua perlawanan yang akan berlangsung kelak tidak menghadapi sebarang masalah hingga mengganggu pasukan untuk beraksi.

"Perlawanan selanjutnya kita akan mengadakan perbincangan bersama pegawai AFC untuk meneruskan perlawanan di SNBJ. Perlawanan perlu diteruskan tapi kita kena lihat dalam tempoh dua atau tiga hari ini padang SNBJ sesuai atau tidak.

"Berkaitan tukar venue lain, perkara itu boleh berlaku jika SNBJ tidak lagi sesuai untuk digunakan… kita sudah tengok keadaan padang selepas Malaysia lawan Bahrain. Perkara yang membimbangkan adalah padang tidak sempat diperbaiki untuk perlawanan Selasa ini," katanya.

Mengikut rekod, jika perlawanan terakhir ditukarkan ke venue lain kemungkinan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menjadi pilihan untuk menganjurkan baki saingan kumpulan E pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan petugas perlawanan terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di SNBJ.

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Ini bukan perkara yang jarang berlaku di stadium ini kerana sebelum ini beberapa aksi persahabatan mahupun final Liga Malaysia pernah berdepan masalah air bertakung susulan hujan lebat yang turun sebelum aksi.

Lebih memburukkan keadaan, petugas stadium menolak air menggunakan penyodok sampah yang mengambil tempoh masa agak lama berbanding jika menggunakan jentera atau mesin menolak air yang lebih pantas dan efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 6:55 PM