BARISAN pemain Schalke sebelum perlawanan bertemu Hertha Berlin. FOTO AFP
BARISAN pemain Schalke sebelum perlawanan bertemu Hertha Berlin. FOTO AFP
AFP

Berlin: Schalke 04 kini gagal melakar kemenangan sepanjang 30 perlawanan terakhir, hanya kurang satu daripada rekod Bundesliga yang pernah dilakar oleh kelab semakin dilupakan, Tasmania Berlin.

Sepanduk berbunyi 'Inilah rekod kita!' dan 'Selamatkan rekod untuk Tas!' dilihat di depan Stadium Olimpik sebelum Shalke tewas 0-3 di tangan Hertha Berlin.

Christian Gross, ketua jurulatih keempat Schalke pada musim ini, terus berdepan tempoh sukar selepas Matteo Guendouzi yang dipinjamkan dari Arsenal, Jhon Cordoba dan penggantinya, Krzysztof Piatek masing-masing menjaringkan gol untuk Hertha.

"Saya masih berharap kami dapat menandatangani satu atau dua pemain yang mungkin boleh membawa perubahan," kata Gross menyaksikan kekalahan terbaharu pasukan bimbingannya.

Schalke yang menduduki tangga tercorot, memperoleh motivasi apabila berjaya mendapatkan semula Sead Kolasinac selepas dipinjamkan dari Arsenal.

Kelab itu akan menanti kunjungan Hoffenheim pada perlawanan seterusnya dan kini hanya tinggal satu lagi perlawanan untuk menyamai rekod Tasmania Berlin yang melalui 31 perlawanan tanpa melakar kemenangan pada musim 1965/66.

Tasmania Berlin kini beraksi dalam Divisyen Kelima bola sepak Jerman.

Pengerusi kelab itu, Almir Numic yang juga penyokong setia Borussia Dortmund, berdepan perasaan bercampur baur mengenai kemungkinan rekod pasukannya akan di atasi Schalke.

"Sebagai penyokong Dortmund, saya tidak kisah jika Schalke terus gagal meraih kemenangan atau pun tersingkir.

"Dalam masa sama, ia adalah sebahagian identiti kelab kami. Ia sudah berlaku sejak lima dekad lalu dan masih menjadi topik utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 8:55 AM