PAPAGOMO, gambar fail. FOTO NSTP
PAPAGOMO, gambar fail. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Selepas selesai memberi keterangan dalam perbicaraan hari kedua berkaitan akta hasutan, blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo ditahan polis di Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Papagomo, blogger kontroversi, ditahan polis selepas perbicaraan akta hasutan.Penahanan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.Saksi Hisham Sharudin menarik balik laporan polis terhadap Papagomo.Hisham bimbang kenyataan Papagomo menyebabkan pergaduhan.Papagomo didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Ringkasan Berita
  • Papagomo, blogger kontroversi, ditahan polis selepas perbicaraan akta hasutan.
  • Penahanan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
  • Saksi Hisham Sharudin menarik balik laporan polis terhadap Papagomo.
  • Peguam Papagomo memohon kebenaran mahkamah untuk memanggil semula Hisham bagi keputusan yang adil untuk kes ini.
  • Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili blogger itu mengesahkan dua pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menunggu di luar Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, di sini untuk menahan anak guamnya.

    "Mereka dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, arahan tangkapan dari pihak atasan.

    "Tangkapan membabitkan laporan polis di bawah Akta Hasutan 1948," katanya.

    Ketika dihubungi, Muhammad Rafique tidak jelas kesalahan khusus yang dilakukan anak guamnya.

    Dalam prosiding hari ini, seorang saksi dalam kes Papagomo yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengandungi hasutan menarik balik laporan polis terhadap tertuduh, dua jam selepas memberikan keterangan.

    Muhammad Rafique memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, saksi terbabit iaitu Hisham Sharudin membuat satu laporan polis semalam, dengan menyatakan menarik balik laporan (polis) itu.

    Semalam, Hisham memberikan keterangan terhadap Papagomo yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengandungi hasutan, bahawa kerajaan pro kepada Israel dan barat.

    Muhammad Rafique berkata, laporan polis terhadap anak guamnya itu adalah 'pencetus' kepada kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

    "Oleh itu, saya dengan rendah diri memohon kebenaran mahkamah untuk mengguna pakai Seksyen 425 Kanun Prosedur Jenayah bagi memanggil semula saksi itu (Hisham) bagi keputusan yang adil untuk kes ini," katanya.

    Peruntukan Seksyen 425 menyatakan mahkamah pada mana-mana peringkat perbicaraan boleh memanggil semula mana-mana saksi yang sudah dibebaskan untuk disoal jika keterangannya penting, sebelum mahkamah membuat keputusan.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, keengganan Hisham yang juga saksi pendakwaan pertama itu meneruskan laporan polis ke atas tertuduh bukan faktor yang wajar dipertimbangkan mahkamah pada peringkat ini untuk menghentikan kes pendakwaan.

    Mohamad Mustaffa berkata, keengganan saksi meneruskan kes tidak menghalang kes pendakwaan diteruskan ke atas tertuduh.

    Katanya, terdapat 'gerakan taktikal' dalam kes itu yang mana saksi hanya berhasrat menarik balik laporan selepas selesai memberi keterangan di mahkamah.

    "Sekiranya saksi memutuskan enggan memberi keterangan pada awal pemeriksaan utama, pihak pendakwaan berhak mengguna pakai Seksyen 357 Kanun Prosedur Jenayah untuk memaksa beliau memberikan keterangan," katanya.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil semula saksi dan prosiding diteruskan dengan mendengar keterangan saksi lain terlebih dulu.

    Semalam, Hisham yang juga peniaga memberitahu mahkamah, beliau membuat laporan polis kerana bimbang berlaku pergaduhan dan rusuhan susulan kenyataan Papagomo.

    Hisham berkata, laporan pada 8 November 2023 itu adalah susulan kenyataan Papagomo yang mendakwa kerajaan menyokong Israel dan beliau juga bimbang dengan desas-desus mengatakan negara berkenaan mahu menyerang Malaysia.

    Wan Muhammad Azri didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut di laman Facebook Halid (Halid Mat Kool) dan ia dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada jam 1 tengah hari pada 8 November 2023.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 dan sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 2:53 PM