PEMAIN Bayern Munich, Thiago Alcantara (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
PEMAIN Bayern Munich, Thiago Alcantara (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

BERLIN: Bayern Munich mengurangkan pendahuluan Borussia Dortmund di puncak Bundesliga kepada hanya dua mata semalam selepas menang 2-1 di Mainz, terima kasih kepada gol kemenangan Thiago Alcantara.

Ketika gol Leon Goretzka dan Thiago memastikan tiga mata buat Bayern, Dortmund hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana memberikan penalti pada minit ke-91 yang disempurnakan Salomon Kalou apabila mereka seri 2-2 di laman sendiri dengan Hertha Berlin.

Pemain muda England, Jadon Sancho meledak dua gol dan patut berakhir dengan empat gol susulan persembahan mengagumkan buat Dortmund, namun Kalou membantu pasukannya berkongsi satu mata dengan menjaringkan gol penalti lewat selepas jaringannya pada babak pertama.

Perlawanan berikutnya Dortmund di laman sendiri - menentang Bayern dalam tempoh dua minggu lagi - dijangka menjadi pertembungan dinanti-nanti antara dua pasukan teratas liga.

Bayern melonjak dari tangga keenam ke tangga keempat dan kini di tangga kedua dalam tempoh tujuh hari terakhir, meraih tiga kemenangan berturut-turut selepas mengakhiri catatan tidak menang dalam empat perlawanan berturut-turut.

“Jelas kami perlu bekerja keras dan ia juga tidaklah cemerlang seperti yang kami harapkan,” akui ketua jurulatih Bayern, Niko Kovac.

“Kami gembira menang tiga perlawanan berturut-turut, saya fikir kami berhak menang di sini dan berharap ia berterusan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 8:41 AM