TANG Jie (kanan) dan Ee Wei bakal tampil kali pertama di temasya Olimpik. FOTO ARKIB NSTP
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei bakal tampil kali pertama di temasya Olimpik. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Segala-galanya mungkin buat barisan pemain badminton negara untuk menghadiahkan pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 dan ia sudah dibuktikan di temasya terdahulu.

Seperti pernah berlaku ketika di Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan gangsa, pingat perak dari Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Wee Kiong-Goh Wei Shem di Rio 2016 dan episod sama mungkin berulang kepada beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, kali ini.

Ketika ini, mereka dalam fasa terakhir untuk mempersiapkan diri sebelum membuat penampilan pertama di temasya berprestij itu.

Malah jurulatih beregu campuran, Nova Widianto turut melontarkan keyakinannya betapa gandingan negara itu memberikan komitmen tinggi dalam latihan dan berpotensi mencabar pingat di Paris 2024.

Pasangan yang menghuni ranking kesembilan dunia itu berkata, hingga hari ini mereka sudah memberikan yang terbaik di gelanggang, fizikal mahupun persiapan mental.

"Sampai ke tahap ini, saya boleh katakan saya sentiasa bersedia, mengikuti latihan, fokus dan tidak pernah berputus asa.

"Kami belum puas dengan apa yang kami capai sekarang ini, masih ada sasaran peribadi yang ingin dicapai dan kami mahukan kemenangan," kata Tang Jie ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Tan Jie-Ee Wei mengakui mereka tidak dapat menggambarkan suasana beraksi di pentas Olimpik, namun kini sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan.

"Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang lebih baik untuk dilakukan sebagai persiapan ke Olimpik kerana kami tidak pernah berada di tahap itu.

"Kami hanya bertanya kepada jurulatih selain Aaron dan Wooi Yik. Tetapi bagi Aaron dan Wooi Yik sendiri, Olimpik terakhir (Tokyo) berbeza kerana berlaku dalam pandemik (Covid-19). Untuk mereka Paris 2024 satu perasaan baharu," katanya.

Tang Jie yang digandingkan bersama Ee Wei pada Disember 2022 sebelum ini merangkul dua gelaran Jelajah Dunia iaitu Terbuka Taiwan dan Masters Orleans pada tahun lalu.

Keserasian ditunjukkan membolehkan mereka layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir biarpun hanya setahun digandingkan.

Kini pada tahun pertama layak ke Olimpik, Tang Jie-Ee Wei menjadi antara sandaran negara untuk membawa pingat emas pertama buat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 7:04 PM