BOON Heong sudah menampilkan prestasi baik dan memberi saingan kepada lawan. FOTO AMIRUL FAZLI ZULKAFLI
BOON Heong sudah menampilkan prestasi baik dan memberi saingan kepada lawan. FOTO AMIRUL FAZLI ZULKAFLI
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Bekas pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong melihat prestasi beregu utama negara tidak terlalu membimbangkan meskipun mereka tidak berjaya melangkah ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China baru-baru ini.

Jelas Bong Heong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah menampilkan prestasi baik dan memberi saingan kepada lawan sehingga memaksa perlawanan ditentukan dalam pertarungan tiga set.

Dirinya turut memuji persembangan yang ditampilkan oleh beregu campuran negara, Cheng Tang Jie- Toh Ee Wei di kejohanan itu.

"Untuk beregu lelaki walaupun mereka kalah tapi perlawanan mereka pun sangat mencabar tapi itu cukup bagus untuk proses meningkatkan lagi prestasi mereka. Lagipun, mereka pun tak kalah teruk. Kita punya sasaran Olimpik Paris tahun depan.

"Sejak Tang Jie-Ee Wei dilatih oleh Nova (Widianto), persembahan mereka banyak peningkatan dan ia boleh nampak peluang itu ke Olimpik (Paris 2024).

"Mereka satu langkah demi satu langkah semakin bagus, malah mereka berjaya buat kejutan lawan beregu campuran Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 12-21, 21-16, 21-16," katanya kepada media selepas hari kemuncak Kejohanan Akademi Badminton TBH 2023 yang julung kali dianjurkan, hari ini.

Terdahulu, pada Jumaat lalu, Aaron-Wooi Yik gagal melangkah ke pusingan separuh akhir selepas tewas ketiga-tiga perlawanan dalam Kumpulan A.

Manakala Tang Jie-Ee Wei pula hampir ke separuh akhir sebelum tewas 21-18, 18-21, 14-21 di tangan beregu keenam dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dalam pertarungan lebih 60 minit.

Sementara itu, kejohanan anjuran akademinya yang pertama kali itu berjaya menarik lebih 600 peserta tempatan termasuk dari luar negara seperti China, Australia dan Thailand.

"Harapan saya, akan ada lebih banyak peserta dari negara lain yang menyertai kejohanan selepas ini sekali gus dapat memberi cabaran kepada pemain Malaysia. Bagi saya, kehadiran pemain dari luar negara ini bakal membolehkan pemain kita meningkatkan kualiti.

"Ini kerana seperti Australia dan China, mereka mempunyai pemain wanita yang mempunyai standard permainan yang agak tinggi dan ini bakal memberi cabaran kepada peserta lain," katanya.

Kejohanan dua hari itu mempertandingkan 13 kategori antaranya Bawah lapan tahun lelaki dan perempuan, Bawah 10 tahun lelaki dan perempuan, Bawah 12 tahun lelaki dan perempuan, Bawah 14 tahun lelaki dan perempuan, Bawah 16 tahun lelaki dan perempuan, Bakat baharu beregu lelaki dan Gabungan umur 70 tahun beregu lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 6:17 PM