AKSI Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika di Terbuka Malaysia, baru-baru ini. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika di Terbuka Malaysia, baru-baru ini. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Masih belum ada bayangan bahawa badminton boleh menyumbangkan pingat di temasya Olimpik Paris yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky selepas menilai prestasi pemain yang berada di bawah pemantauan beliau.

Mungkin jika ingin disandarkan harapan hanyalah pada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi yik.

Manakala buat dua lagi beregu negara Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, beliau belum nampak lagi kemampuan mereka untuk mencabar pingat.

"Jika ditanya, pasti kita mahu semua atlet yang beraksi di Olimpik boleh bawa pulang pingat tapi kalau dilihat dari segi prestasi mereka ketika ini, peluang itu belum nampak.

"Keyakinan untuk berjuang merebut pingat itu belum ada terutama untuk Pearly-Thnaah, Tang Jie-Ee Wei.

"Tapi kita masih tetap positif bahawa barisan jurulatih akan mempertingkatkan prestasi menjelang temasya Paris nanti kerana saya percaya kita masih lagi boleh menjadi sebagai salah satu negara yang mencabar pingat," katanya.

Pearly-Thinaah dan Tang Jie-Ee Wei bakal membuat penampilan pertama di temasya Paris dan kini diletakkan di bawah program Road to Gold.

"Untuk Pearly-Thinaah tumpuan sekarang ini untuk meningkatkan kekuatan fizikal dan strategi untuk kembali ke kelompok Top 10.

"Manakala bagi Tang Jie-Ee Wei pula kita harapkan mereka kembali meraih keyakinan selepas sedikit hilang kepercayaan diri berbanding kemajuan dicapai pada Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, Disember lalu," tambah Rexy.

Untuk rekod Tang Jie-Ee Wei hanya mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia dan India, manakala Pearly-Thinaah pula, tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia dan pusingan kedua Terbuka India.

Aaron-Wooi Yik pula ke suku akhir Terbuka Malaysia dan tersingkir di separuh akhir Terbuka India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 3:23 PM