PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik pada sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO BERNAMA
PEMAIN beregu lelaki negara, Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik pada sesi latihan skuad badminton kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu prospek emas negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melakukan langkah drastik dengan memohon tiga sesi dalam tempoh sebulan sebelum temasya Olimpik Paris 2024 bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Perkara itu diusulkan sendiri oleh Aaron-Wooi Yik yang menyuarakan hasrat mereka itu bagi memastikan mereka dapat memperbaiki segala kelemahan dan mempertingkatkan lagi fokus permainan.

Bagaimanapun Aaron berkata, sesi latihan ketiga iaitu pada sebelah malam bukanlah sesi latihan berat yang mana ia lebih tertumpu untuk memperbetulkan kesilapan.

"Kami yang minta sesi tambahan itu sebab sudah tak banyak masa lagi. Kita gunakan untuk betulkan skil dan teknik.

"Sesi itu juga bukanlah sesi latihan berat dan masa latihan juga tidak panjang sekitar satu ke dua jam pada setiap malam," katanya.

Sementara itu Wooi Yik berkata, dalam tempoh baki yang tinggal sebelum Olimpik ini, dia akan menghabiskan sepenuh masanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Ia adalah penting mereka mempersiapkan diri dan berada dalam keadaan bersedia untuk bertanding di pentas Olimpik buat kali kedua.

"Sebulan yang tinggal ini saya akan terus berada di ABM. Saya nak fokus untuk diri sendiri. Senang berada di ABM tak ada siapa yang mengganggu.

"Jadi saya boleh fokus mempersiapkan diri kerana dalam saingan beregu lelaki ini peluang untuk menang adalah sama rata dan saya perlu buat yang terbaik," katanya yang akan terus berada di ABM sehingga berlepas ke Aire Sur La Lys, Perancis untuk kem latihan 10 hari bermula 10 Julai ini.

Selain itu, Wooi Yik dan Aaron turut meminta tiga sesi berkenaan adalah gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Wooi Yik berkongsi bahawa kem motivasi bersama pakar psikologi BAM, Frederick Tan di Pulau Pinang pada hujung minggu membantu mereka untuk meningkatkan motivasi dan semangat menjelang Paris 2024, serta mengajar mereka bagaimana untuk menghadapi sesuatu situasi ketika temasya terbesar dunia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 5:01 PM