AB Rauf (tengah) membuat cabutan bertuah sempena TMM 2024 sambil disaksikan Abdul Razak  dan Mohd Efendi (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Karnival Jom Heboh di Dataran MITC, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Aizuddin Saad
AB Rauf (tengah) membuat cabutan bertuah sempena TMM 2024 sambil disaksikan Abdul Razak dan Mohd Efendi (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Karnival Jom Heboh di Dataran MITC, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Aizuddin Saad
Amir Mamat


Ayer Keroh: Karnival Jom Heboh (KJH) anjuran Media Prima Berhad (MPB) diyakini mampu menyumbang kepada jumlah kedatangan pelancong dan pengunjung ke Melaka sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengakui KJH yang menjadi satu daripada program mega dalam kalendar pelancongan Melaka itu dapat menghimpunkan hampir 300,000 pengunjung dalam dan luar negeri, sekali gus menjadikan TMM2024 yang sedang rancak dilaksanakan ketika ini bertambah meriah.

Katanya, program tiga hari di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan berakhir hari ini, adalah satu lagi inisiatif bagi menggamit lebih ramai pengunjung datang ke Melaka dengan penjenamaan tersendiri iaitu KJH Mana Lagi? Melaka Ler yang bertepatan dengan `tagline' TMM2024.

"Kerajaan negeri menyambut baik penganjuran karnival ini kerana ia bukan sahaja dapat menzahirkan sifat kebersamaan, keterangkuman dalam meraikan kepelbagaian etnik, agama dan bangsa, tetapi juga membawa pelbagai faedah termasuk menyumbang kepada peningkatan ekonomi serta pelancongan negeri.

"Syabas diucapkan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan karnival yang sesuai untuk seisi keluarga di samping menjadi platform buat usahawan mempromosi produk perniagaan di 124 gerai jualan yang disediakan.

"Saya yakin, KJH adalah satu acara berprestij yang sangat dinantikan oleh seluruh rakyat untuk meluangkan masa beriadah sambil berhibur bersama rakan serta keluarga di hujung minggu," katanya selepas merasmikan KJH di pentas utama, di sini malam tadi.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Azhari Muhidin.

Ab Rauf berkata, usaha MPB menganjurkan karnival mega berkenaan mampu merealisasikan hasrat untuk menarik sejumlah 18.7 juta pengunjung dan pelancong ke negeri itu sepanjang kempen TMM2024 yang bakal berakhir 31 Disember depan.

Beliau mengakui peranan yang dimainkan konglomerat media terbesar di Malaysia itu dalam mempromosikan TMM2024 di semua platform termasuk akhbar dan radio dapat mempopularkan lagi Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di negara ini.

"Saya berterima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan KJH di Melaka kali ini selain penghargaan kepada MPB sebagai rakan strategik yang banyak membantu dalam menjayakan karnival ini.

"Usaha MPB sebagai media rasmi TMM2024 memainkan peranan besar dalam mempromosikan Melaka sehingga mencapai penonton yang lebih luas di serata dunia," katanya.

Pada majlis itu, Ab Rauf turut melakukan cabutan pengunjung bertuah yang memenangi hadiah masing-masing sebuah kereta Proton X50 dan Proton Persona dengan nilai keseluruhan melebihi RM150,000.

Sementara itu, Mohd Efendi dalam ucapan berkata, KJH akan dianjurkan di Melaka tahun hadapan sebagai menghargai sokongan penduduk negeri itu terhadap usaha yang dianjurkan MPB bersama kerajaan negeri itu.

"Meskipun TMM2024 berakhir hujung tahun ini, tetapi sebagai menghargai sokongan semua, termasuk daripada kerajaan negeri, kami berazam untuk membawa KJH sekali lagi ke Melaka pada tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:20 AM