HOOI Ling ketika menerima rawatan.
HOOI Ling ketika menerima rawatan.
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kejadian terkena simbahan asid pada 2009 lalu bukan sahaja mengubah keseluruhan wajah gadis si penjual bunga, tetapi kini mata kirinya pula diancam masalah penglihatan.

Tan Hooi Ling, 32, sejak lebih setahun lalu tidak lagi dapat melihat dengan jelas dipercayai kesan akibat terkena cecair asid dalam kejadian malang berkenaan.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia tetap positif dan bersyukur kerana dikelilingi insan mengambil berat terhadap dirinya.

Bercerita tentang kejadian, Hooi Ling berkata, ketika itu dia tidur bersama ibu sebelum muka dan bahagian badannya terasa 'panas'.

Tidak tahu apa yang berlaku, dua beranak itu hanya mampu menggelupur menahan kesakitan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi diberi rawatan.

"Ibu parah dan tertelan cecair itu menyebabkan dia meninggal dunia manakala bapa pula kini dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak selepas disahkan mempunyai masalah mental.

"Selepas itu barulah saya difahamkan bahawa bapa mencurahkan asid kepada ibu dan terkena pada saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengulas lanjut Hooi Ling berkata, kejadian itu berlaku kira-kira sebulan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Akibatnya, dia terpaksa menjalani rawatan selama tiga bulan di hospital dan menduduki SPM sambil menahan kesakitan berikutan melecur di muka, bahu, tangan dan kaki selain mata kanannya menjadi buta.

"Sejak kejadian itu, saya sudah jalani sebanyak enam kali pembedahan pada wajah dan bahagian tubuh yang terjejas di hospital di luar negara dengan kos dibiayai bekas wakil rakyat (Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi).

"Walaupun wajah sudah tidak sama seperti dulu, saya bersyukur kerana masih diberi peluang hidup dan dijaga dengan baik oleh abang serta bapa saudara," katanya masih bujang.

Menurut Hooi Ling, selepas sembuh, dia melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta sebelum bekerja sebagai akauntan namun terpaksa letak jawatan yang dipegang selama lebih enam tahun berikutan penglihatan pada mata kirinya semakin kabur.

Tidak pasti atau mungkin ia disebabkan kesan asid, Hooi Ying berkata, dia sukar hendak menyiapkan kerja yang sepenuhnya menggunakan komputer.

"Sejak bekerja di kedai bunga, saya berasa tenang dan gembira dapat menyentuh bunga yang cantik setiap hari selain kurang tekanan kerja.

"Saya tinggal dengan abang dan sudah lama saya maafkan ayah, malah mungkin kerana itu hidup menjadi lebih tenang.

"Saya belum fikir tentang pasangan hidup, cuma pada masa ini saya lebih gemar melancong bersama beberapa rakan baik yang setia bersama.

"Saya juga berharap supaya insan senasib terima apa jua keadaan yang berlaku dan sentiasa menghargai 'peluang kedua' ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Hooi Ling dan ibunya, Cheong Swee Lin, 50, disimbah dengan asid oleh bapanya sendiri sewaktu sedang tidur berikutan perselisihan faham kedua ibu bapanya itu di rumah mereka di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong pada jam 3 pagi.

Akibatnya, Cheong, yang terbakar 80 peratus kulit badannya, meninggal dunia sembilan jam kemudian manakala Hooi Ling cedera di muka dan beberapa bahagian badan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 9:01 AM