Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky.
Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui seakan tidak boleh menerima pencapaian yang dipamerkan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di Masters Malaysia.

Aaron-Wooi Yik yang juga gandingan nombor empat dunia tersingkir di suku akhir, kelmarin selepas tunduk di tangan pasangan ke-34 dunia dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung 21-11, 19-21, 19-21.

Tang Jie-Ee Wei pula tewas straight set di tangan pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai 11-21, 19-21 di peringkat separuh akhir, semalam.

Menurut Rexy, kedua-dua gandingan itu seharusnya memanfaatkan peluang apabila tampil selaku pilihan utama kejohanan.

"Kita harus berterus terang, kekalahan Aaron-Wooi Yik dan Tang Jie-Ee Wei adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Aaron-Wooi Yik seharusnya menang (menentang Jin Yong-Sung Seung), set pertama tiada masalah tetapi set kedua kita lihat mereka seperti orang yang tiada semangat, bermain macam orang tiada niat mahu ambil mata," katanya.

Ujar Rexy, beliau kecewa bukan disebabkan anak buahnya kalah di tangan gandingan Korea itu tetapi kecewa kerana tumpas berpunca kesilapan sendiri.

"Secara keseluruhan prestasi mereka, saya beri lima atau enam daripada 10 markah.

"Tang Jie-Ee Wei pula bermain sangat teruk di separuh akhir.

"Kita tidak nampak kombinasi sebagai satu pasukan antara mereka khususnya Ee Wei yang selalunya boleh mengawal permainan di jaring tetapi kali ini tidak menjadi.

"Aaron-Wooi Yik sepatutnya tiada masalah untuk menjadi juara, begitu juga Tang Jie-Ee Wei yang ada peluang cukup besar untuk menang tetapi terlepas semuanya," kata legenda badminton Indonesia itu.

Kedua-dua pasangan itu berada di dalam program Road to Gold (RTG) dalam persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ditanya mengenai prestasi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang turut berada dalam RTG, Rexy mengakui dia mengharapkan pasangan ranking ke-13 dunia mampu sekurang-kurangnya melangkah sehingga pentas final.

Bagaimanapun, Pearly-Thinaah yang diletakkan selaku pilihan kedua terpaksa akur tewas di tangan gandingan ranking ke-26 dunia dari Korea, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 16-21, 11-21 di separuh akhir, semalam.

"Untuk Pearly-Thinaah ini saya masih boleh cakap Pearly seminggu sebelum kejohanan dia baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang yang dialaminya.

"Kita mengharapkan mereka boleh mara sekurang-kurangnya sehingga ke final dan saya percaya kalau dapat melakukannya mereka ada peluang untuk jadi juara," katanya.

Ketika berbaki kurang dua bulan sebelum Sukan Olimpik Paris berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan, Rexy berharap ketiga-tiga pasangan utama negara itu sedar dengan kesilapan mereka dan kembali bangkit.

"Sebelum Olimpik ini, saya harap mereka sedar apa yang mereka harus lakukan. Barisan jurulatih dan pengurusan sudah cuba untuk bantu bagi mengurangkan tekanan mereka termasuk mengehadkan sesi bertemu media kepada seminggu sekali saja.

"Jadi, pemain harus sedar untuk buat yang lebih baik lagi. Ambil pengajaran daripada kegagalan di kejohanan kali ini.

"Kita tidak boleh hanya bercakap 'come back stronger' tanpa sedar kesilapan kita dan tidak melakukan apa-apa untuk memperbaikinya. Pemain perlu sedar di Olimpik nanti tekanannya lebih tinggi," katanya.

Ketiga-tiga pasangan negara itu akan beraksi dalam dua lagi kejohanan sebelum Olimpik Paris iaitu Terbuka Singapura bermula Selasa ini dan Terbuka Indonesia dari 4 hingga 9 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:16 PM