Agenda boikot bermula sebagai satu bentuk tindak balas terhadap kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Islam di Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, episod boikot ini sudah memasuki fasa yang serius apabila berlaku perbuatan jenayah atau khianat dengan melakukan vandalisme terhadap premis sasaran.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada agenda boikot ini sudah memasuki satu 'gerakan radikal' yang baharu sehingga 'menghalalkan' perbuatan jenayah.

Mengupas isu ini, Kafe Ahad menemubual Pakar Penganalisis Keselamatan dan Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Keselamatandan Undang-Undang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) PROF DR MOHD MIZAN MOHD ASLAM bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN.

Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam
Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam

Bagaimanakah seseorang itu mampu untuk melakukan suatu bentuk jenayah vandalisme dengan cogan kata 'perjuangan boikot'?

Asas kepada radikal atau tindakan radikal ialah tiada toleransi, jadi apabila tiada toleransi, golongan ini akan melihat orang lain, agama lain, individu lain dan ideologi lain sebagai tidak betul sekali gus memerlukan tindakan drastik untuk dilaksanakan.

Ini kita panggil sebagai pemikiran radikal apabila hanya pemikiran golongan mereka saja yang diterima.

Keadaan ini akan mencetuskan perkembangan daripada aspek ideologi kepada perbuatan fizikal dan contoh mudah pada hari ini adalah perbuatan vandalisme terhadap premis yang dikaitkan dengan agenda boikot.

Tindakan itu bukan saja melangkaui batas undang-undang sebaliknya sudah melangkaui adab serta nilai yang diterapkan dalam agama Islam itu sendiri.

Toleransi adalah kata kunci yang paling penting dalam kemanusiaan sejagat hari ini kerana apabila tiada toleransi, maka wujud pemikiran radikal, tindakan ekstrem dan jika ia terus dibiarkan, akan membawa kepada skala perbuatan lebih dahsyat.

Bermula dengan agenda boikot, tetapi berakhir dengan insiden jenayah, mengapa boleh berlaku?

Seperti yang saya katakan tadi bahawa ia bermula dengan melihat tindakan kumpulan mereka saja yang benar manakala pandangan orang lain sebagai tidak tepat atau sesat.

Apabila golongan ini melihat bahawa agenda boikot itu tidak memadai, mereka akan mencari ruang untuk membalas 'ketidakadilan' itu dengan pelbagai cara.

Pada peringkat awal, kita semua bersetuju bahawa agenda boikot ini adalah satu bentuk tekanan ekonomi yang diperlukan tetapi kita tidak boleh bersetuju dengan pendekatan radikal yang ganas serta barbaric ini.

Jadi, golongan ini berpandangan bahawa tindakan yang memadai adalah merosakkan harta benda di premis yang dikaitkan dengan boikot sebagai timbal balas.

Mereka melakukan contengan menerusi ekspresi perkataan yang kasar sedangkan itu sedikit pun tidak mencerminkan Islam.

Daripada paras boikot, mereka pergi kepada paras lebih radikal iaitu merosakkan harta benda, selepas itu mungkin kepada ancaman atau ugutan fizikal kepada pekerja dan seterusnya mungkin mengundang tindakan lebih ganas, ini yang kita perlu bimbang.

Terma ghuluw dalam Islam itu adalah perbuatan melampau-lampau, boleh kita label golongan ini sebagai ghuluw?

Ya, mereka yang melanggar adab serta nilai yang sudah diterapkan dalam Islam adalah kumpulan yang melampau-lampau.

Pemikiran keras seperti ini akan membawa kepada ideologi khawarij sekali gus mereka sudah keluar daripada garis kesederhanaan yang ditetapkan oleh Islam.

Ini juga tidak bertepatan dengan agenda boikot tetapi lebih kepada perbuatan untuk merosakkan imej Islam itu sendiri.

Seharusnya, kita semua berpegang kepada paksi badan berautoriti agama Islam, jika ada pandangan daripada mufti-mufti berhubung adab dalam boikot, ia perlu dipraktikkan.

Mohd Mizan (kiri) dan Muhammad Saufi.
Mohd Mizan (kiri) dan Muhammad Saufi.

Saya lihat jika ada mufti yang mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan prinsip golongan ini, mereka akan terus menghamburkan kata-kata cacian kepada golongan agamawan, ini sangat jelas tunas-tunas kepada gerakan ekstremisme.

Bagaimana perbuatan ini jika dalam skala besar akan mengganggu keselamatan serta keharmonian?

Pada pandangan saya, jelas bahawa tidak akan wujud satu masyarakat yang harmoni dan dapat hidup dalam satu situasi yang cukup bertolak ansur jika setiap golongan hanya mementingkan pandangan mereka saja yang terpaling benar.

Kita perlu meraikan perselisihan pandangan antara kita tanpa mewujudkan jurang permusuhan khususnya dalam agenda boikot ini.

Agenda boikot ini hanya mempunyai satu objektif iaitu memberi tekanan ekonomi kepada sesebuah negara, jadi jika kita ingin meneruskan, perlu mendasari prinsip Islam dalam kaedah boikot.

Dalam kajian saya dalam ideologi keganasan serta pengalaman di lapangan juga turut membuktikan bahawa tindakan ekstremisme ini bermula dengan perbuatan kecil sebelum ia pergi kepada skala lebih serius.

  

Nasihat Prof dalam isu insiden jenayah dalam boikot ini?

Pertamanya, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak khususnya pempengaruh serta individu yang mempunyai pengikut media sosial supaya berhati-hati dalam menyemarakkan agenda boikot.

Ini kerana kita bimbang kita sedang menyemarakkan ideologi radikal sekali gus mendorong kepada tindakan ekstremisme.

Untuk memboikot sesuatu barangan dengan tidak membeli atau tidak hadir di premis mereka tidak mengapa, ia diterima tetapi jangan sampai kepada perlakuan jenayah.

Keduanya, perlu untuk kita semua mendapatkan maklumat yang benar serta sahih sebelum sebarang bentuk tindakan itu dilakukan.

Ketiganya, perlu kita hormati badan-badan berautoriti untuk memberikan pandangan serta maklumat dan jangan kita 'langgar' semua perkara sehingga memberikan cerminan yang buruk untuk agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2024 @ 6:55 AM