Ahli NGO Misi Kita, Panji Iman Malaysia, Prihatin Kuala Kangsar dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Cakna Tapah (PERMAT) membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Ahli NGO Misi Kita, Panji Iman Malaysia, Prihatin Kuala Kangsar dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Cakna Tapah (PERMAT) membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, di sini, hari ini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Muhamad Lokman Khairi


Ipoh: Empat badan bukan kerajaan (NGO) mempersoal sikap segelintir ahli politik yang dilihat seolah-olah mempertahankan KK Super Mart berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Jurucakap NGO Misi Kita, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata, pihaknya bersama Panji Iman Malaysia, Prihatin Kuala Kangsar dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Cakna Tapah (Permat) sukar menerima kenyataan beberapa pemimpin politik yang memperlekehkan kempen boikot.

"Kita orang Melayu Islam berlembut sudah, nasihat baik-baik sudah, bertoleransi, bertolak ansur sudah, kita buat laporan polis sudah, boikot secara aman pun sudah, cuma kurang ajar sahaja belum.

"Ini isu yang sangat sensitif, mereka sepatutnya jangan keluarkan kenyataan sebegini.

"Kamu dah tahu KK Mart tu salah, kemudian kamu keluarkan kenyataan memperkecilkan isu-isu yang melibatkan sensitiviti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, di sini, hari ini.

Yushairil Iswan berkata, mereka menyerahkan proses siasatan kepada polis sekali gus berharap hukuman tegas dikenakan terhadap pihak yang tidak menghormati agama Islam.

"Kami hanya tuju kepada segelintir (individu) yang tak sensitif terhadap Islam. Semoga pihak berwajib memberi hukuman setimpal dan paling tegas

"Kami bangkit menyatakan solidariti bahawa isu kalimah Allah sangat sensitif dan saya berharap orang Islam terus memboikot serta jangan beri peluang pun kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 1:00 PM