Farihad Shalla Mahmud & Fatin Farhana Ariffin


Kuala Lumpur: Kempen Blockout 2024 yang digerakkan bertujuan memboikot golongan selebriti susulan sikap tidak sensitif dan ambil peduli mengenai penindasan rejim Zionis terhadap Palestin sewajarnya diberi pujian.

Bagaimanapun, objektif kempen dicetuskan bintang TikTok, ladyfromtheoutside itu dilihat tersasar apabila wujud unsur ancaman dan buli siber terhadap selebriti tempatan.

Menerusi laporan khas, Kempen Blockout 2024 yang disiarkan Buletin Utama di TV3, malam tadi, kempen memulaukan artis yang didakwa tidak menyatakan solidariti terhadap Gaza dianggap berkesan.

Ini berikutan jumlah tontonan, tanda suka dan komen dalam media sosial serta platform penstriman milik selebriti merosot atau hilang, namun tindakan agresif segelintir warga maya mencetuskan kebimbangan dalam diri selebriti terbabit.

Bukan sahaja maki hamun, bahkan ada sebahagian netizen melemparkan ancaman.

Penyanyi lagu Mainan, Naim Daniel antara mangsa apabila menerima komen berbaur ugutan terhadap ibu bapanya, hanya kerana tidak puas hati dengan tegurannya terhadap kempen boikot selebriti yang dianggap keterlaluan.

Susulan itu, bekas peserta program realiti, Famili Duo itu membuat laporan polis hingga seorang individu ditahan.

Laporan khas itu turut memetik nasihat penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza ditujukan kepada penyokong gerakan Blockout 2024 agar menjaga adab dan elak meninggalkan komen berbaur ugutan serta maki hamun dalam laman sosial selebriti.

"Apapun kena beradablah. Sebab itu, saya pentingkan apa-apa yang kita nak tegur biarlah cara beradab. Itu yang diajar dalam agama Islam.

"Nak marah apa ke, pastikan ia tidak menjatuhkan air muka ataupun memalukan," kata Siti.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan menggariskan tiga perkara asas iaitu kebenaran, ilmu dan akhlak sebelum bertindak memulaukan artis.

"Apa juga tindakan diambil termasuk kempen solidariti perlulah dibuat atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak.

"Jabatan Hal Ehwal Agama menyeru semua tidak mengambil tindakan ekstrem kepada mana-mana pihak," katanya.

Bagi pengamal undang-undang, Mahmud Jumaat, hak memboikot perlu ada batasan dan tanpa sebarang paksaan.

"Pada dasarnya boikot adalah satu tindakan di bawah hak asasi individu untuk bersuara. Boikot tidak salah.

"Ikut perundangan, tiada isu, namun hadnya adalah jangan membabitkan kerugian atau memprejudiskan mana-mana pihak yang tidak sealiran.

"Kerana mungkin cara berbeza dalam memberi sokongan dan solidariti kepada saudara di Palestin," jelasnya.

Pandangan sama turut dinyatakan Timbalan Dekan Jaringan Industri, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim antara lain turut menyatakan setiap apa yang dilakukan bergantung kepada niat.

"Setiap individu, syarikat dan kerjanya tak sama. Dan mempunyai maslahat masing-masing, tapi apa yang Islam nak adalah hati.

"Nabi pun beritahu, apa-apa pun berbalik kepada niat," ujarnya.

Sementara itu, Wartawan Penyiaran TV3, Fahmi Tajuddin yang menyediakan laporan khas Kempen Blockout 2024 itu berkata, ia bertujuan bagi mendidik orang ramai agar tidak keterlaluan dalam bertindak, sebaliknya selidik dulu sebelum memboikot seseorang artis.

"Melihat konteks di Malaysia ini sama sahaja dengan kempen di peringkat antarabangsa, mereka menyekat mana-mana artis yang tidak menyatakan pendirian terhadap Gaza.

"Dalam pada itu, wujudnya juga elemen buli siber seperti mengeluarkan makian atau kata-kata kesat kepada artis berkenaan.

"Jadi, apa yang kita tekankan menerusi laporan khas malam ini adalah bagaimana mahu memboikot, tapi mengikut undang-undang, ilmu dan akhlak baik. Boleh nak boikot, tapi ada caranya," katanya.

Tambah Fahmi, pihaknya tidaklah menidakkan gerakan Blockout 2024, namun ada cara sepatutnya menyatakan sokongan kepada Palestin.

"Ada sesetengah menyertai kempen Blockout 2024 tidak faham konotasi dan kandungannya. Jadi, bila lihat trend ini sedang hangat, mereka pun ikut, itu yang kita tidak mahu.

"Sebab bila sebut nama seseorang artis, ia juga boleh membabitkan pihak lain seperti stesen televisyen dan sebagainya. Jadi, orang kata ada kesan di sebalik kegiatan memboikot.

"Misalnya, bila saya menemubual seorang pakar, dia cakap kawan baiknya beri sumbangan kepada Palestin, tapi dia tergolong dalam senarai nama artis kena boikot.

"Jadi, benda ini subjektif sebab takkanlah nak tunjuk setiap kali menderma.

"Di sini, kami mahu mendidik orang ramai bahawa nak boikot tiada masalah sebab undang-undang tak pernah halang memboikot, tapi buatlah dengan cara betul dan seboleh-bolehnya, selidik dulu.

"Janganlah pula mengeluarkan komen tidak berpatutan seperti apa yang menimpa Naim Daniel," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 8:54 PM