PEGAWAI dan anggota JBPM Besut melakukan pemantauan kebakaran di hutan tanah gambut di Kampung Baru Batu Tumbuh. FOTO Baharom Bakar
PEGAWAI dan anggota JBPM Besut melakukan pemantauan kebakaran di hutan tanah gambut di Kampung Baru Batu Tumbuh. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Jertih: Sekolah yang terletak berhampiran kawasan kebakaran di daerah Besut dibolehkan memohon cuti peristiwa jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengurusan sekolah diminta menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah jika bacaan IPU melebihi 100.

Bagaimanapun, katanya, kebakaran membabitkan dua kawasan masing-masing di tapak pelupusan sampai (TPS) di Kampung Paya Rawa dan hutan tanah gambut di Kampung Raja, sehingga menyebabkan cuaca berjerebu masih terkawal.

"Kita dapati sebanyak lima sekolah dan sebuah kolej vokasional serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di daerah Besut berada dalam jarak antara 0.4 kilometer dan 4.25 km daripada kawasan kebakaran.

"Kita dapati bacaan IPU di daerah Besut dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih berada pada tahap antara 54 dan 55," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris dilaporkan berkata, pelepasan asap disebabkan dua kejadian kebakaran dikesan menjadi punca kemerosotan kualiti udara di daerah Besut.

Katanya, siasatan JAS mendapati cuaca berjerebu di Besut disebabkan kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku sejak awal bulan ini serta di TPS sejak Jun lalu.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, walaupun keadaan masih terkawal dan tidak memerlukan penutupan sekolah tetapi JPNT akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan murid, guru dan sekolah.

"Kita akan sentiasa meminta nasihat dan pandangan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Jabatan Kesihatan dan JAS.

"Aspek keselamatan murid, guru dan sekolah adalah keutamaan JPNT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:11 PM