HARRY Kane membuat percubaan ketika menentang Belanda. FOTO Agensi
HARRY Kane membuat percubaan ketika menentang Belanda. FOTO Agensi
AFP

Berlin: Selepas gagal membantu Bayern Munich menjulang kejuaraan Bundesliga dalam musim pertamanya, ketua pasukan England, Harry Kane berpeluang memenangi trofi Euro 2024 dan ia akan dijulang di bumi Jerman.

Kane yang berpindah dari Liga Perdana Inggeris ke Bundesliga musim lalu kempunan untuk mendakap trofi pertamanya di Jerman selepas dikecewakan oleh Bayer Leverkusen dalam saingan liga dan piala domestik

Dia yang meledak gol peribadi ke-406 buat negara dan kelabnya ketika membenam Belanda di separuh akhir sebelum ini nyata berada pada prestasi terbaik untuk cuba mencetak nama selaku penjaring di final Euro esok.

"Kami menunjukkan karakter luar biasa, daya tahan, kekuatan fizikal dan mental. Kami sudah memberikan semuanya dan kini tinggal satu lagi.

"Ia perjalanan yang sukar tetapi tinggal hanya satu lagi. Tempoh 90 minit, 120 minit, penalti, apa saja yang diperlukan," kata Kane.

Begitupun disebalik semangat itu, persembahan England di Euro 2024 sebenarnya mendapat cemuhan ramai peminat dan pemerhati bola sepak.

Berdasarkan statistik, England hanya mampu menang sekali dalam tempoh 90 minit babitkan lima aksi sehingga ke final.

Malah, The Three Lions juga memerlukan gol lewat permainan untuk mengatasi Slovakia, Switzerland dan Belanda di peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:18 PM