Azharina Azhar
Azharina Azhar
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi Azharina Azhar, 39, terharu apabila anak angkatnya, Rahmat Azharin Aziz, 10, melakukan satu kejutan istimewa buat dirinya dengan menyanyikan lagu You Are My Sunshine sempena minggu Bahasa Inggeris di sekolahnya, baru-baru ini.

Azharina berkata, dia hadir ke sekolah anaknya itu untuk memberi kata-kata motivasi kepada pelajar tahun empat, lima dan enam bersempena minggu Bahasa Inggeris berkenaan.

"Saya sangat terkejut apabila Rahmat masuk ke dalam dewan sambil menyanyikan lagu You Are My Sunshine yang juga lagu wajib yang dinyanyikan untuk anak-anak sebelum tidur.

"Allah saja yang tahu perasaan saya masa itu. Saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Anak yang saya jaga dan sayang sejak lahir boleh buat kejutan macam itu.

"Sebagai ibu, apa yang Rahmat buat ini saya tak akan lupa sampai bila-bila," katanya.

Mengenai anak sulungnya itu, kata Azharina, ia juga kali pertama dia melihat Rahmat berani menyanyi di hadapan orang ramai.

"Seperti yang anda semua tahu, Rahmat adalah anak istimewa dan menghidap disleksia yang Allah hadirkan dalam hidup saya.

"Jadi, kejutan yang dibuat oleh Rahmat ini sangat luar biasa. Saya sendiri terkejut kerana dia berani menyanyi di hadapan ramai orang. Dia menyanyi sambil pegang tangan dan pimpin saya ke atas pentas.

"Sebelum ini, memang saya tahu dia boleh menyanyi tapi di hadapan orang yang dia rapat saja," katanya yang hampir 18 tahun bergelar ibu tunggal.

Ditanya karakter dan sifat yang ada pada diri Rahmat pula, kata Azharina, anaknya itu seorang yang ceria, penyayang dan sangat melindungi ahli keluarga.

"Kalau dia sayang seseorang, memang dia akan tunjuk dan ambil berat.

"Dia tak boleh dengar orang cakap buruk pasal saya. Satu lagi istimewanya, Rahmat di mata saya ialah dia pandai mengambil hati orang. Dari segi percakapan, dia seorang yang sangat lemah lembut dan beradab," katanya yang turut memiliki seorang lagi anak angkat, Redha Azharin, 7.

Terdahulu, Azharina memuat naik video di Instagram miliknya berkongsi kejutan istimewa yang dibuat anaknya Rahmat bersempena sambutan Minggu Bahasa Inggeris di sekolahnya sekali gus meraih perhatian pengikutnya di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 12:22 PM