Cetel kini duta Setel. FOTO X Setel
Cetel kini duta Setel. FOTO X Setel
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tindakan pemuda ini, merakam gelagat seekor kucing tidur di sebuah stesen minyak sebelum memuat naik gambarnya di media sosial membawa tuah kepada haiwan itu apabila dipilih sebagai duta aplikasi Setel, Petronas Dagangan Berhad.

Muhamad Badri Akif Mohd Azman, 28, berkata, dia bertemu dengan kucing itu ketika mengisi petrol di stesen Petronas di Kota Sarang Semut, Yan, Kedah pada petang, 13 Februari lalu.

"Petang itu saya dalam perjalanan balik ke rumah saya di Pulau Pinang dari rumah nenek di Kampung Alor Serdang.

"Masa berhenti isi minyak, saya nampak kucing itu tidur di lantai pam 1, saya pun saja-saja rakam gambar dia untuk kenangan kerana memang kalau jumpa mana-mana kucing saya suka ambil gambar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhamad Badri Akif, dia tidak menyangka perkongsiannya di platform X pada malam 13 Februari lalu meraih perhatian ramai sekali gus mengubah nasib kucing berwarna oren, putih dan hitam itu.

"Saya muat naik gambar kucing itu sedang tidur ke platform X dengan 'tag' Setel sekadar suka-suka tak sangka pula mendapat perhatian netizen dan pihak Setel.

"Saya tak pasti kucing itu milik siapa, tetapi ia memang selalu ada di situ kerana September tahun lalu juga saya pernah ambil gambar kucing ini dan simpan dalam galeri telefon saya," katanya.

Katanya, dia tidak mengetahui perancangan pihak Setel untuk kucing itu, namun dia mengharapkan kebajikan haiwan itu akan terbela.

Sementara itu, menerusi perkongsian Setel di platform X, mereka menunaikan janji dengan mengumumkan kucing diberi nama Cetel hasil undian netizen itu sebagai duta aplikasi Setel.

Kata Setel, pihaknya sedang menguruskan pengambilan Cetel sebagai duta mereka termasuk meminta pendapat netizen makanan terbaik buat haiwan itu.

"Collar (kolar kucing) untuk Cetel otw (akan sampai) ya semua.

"Admin (pengendali akaun X Setel) akan jumpa dia soon (tidak lama lagi) untuk drop all the goods dan necessities (uruskan dan berikan semua keperluan).

"(Tetapi) Perlukan masa sedikit sebab Cetel jauh dari min (admin)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 8:05 AM