FOOD Bank yang disediakan di stesen Petronas.
FOOD Bank yang disediakan di stesen Petronas.

PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) merancang untuk memperluas program food banknya dengan membabitkan lebih daripada 400 stesen Petronas di seluruh negara bagi memberi bantuan kepada lebih ramai rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya memperuntukkan bekalan makanan bernilai RM600,000 bagi meningkatkan program berkenaan supaya dapat disalurkan kepada lebih banyak penerima dan mereka yang memerlukannya.

"Penerima dan mereka yang memilih untuk menyumbang secara terus boleh mencari stesen yang terbabit dalam program ini menerusi ciri-ciri baharu yang disediakan dalam aplikasi mudah alih e-dompet Petronas, Setel.

"Pengguna aplikasi itu juga boleh memilih untuk membeli pek food bank daripada kenderaan mereka melalui ciri Deliver2Me ketika berada di stesen, manakala orang ramai juga boleh menyumbang secara dalam talian dari rumah mereka sendiri.

"Ahli Mesra boleh menebus dan menukar mata ganjaran mereka kepada pek food bank menerusi aplikasi Setel sementara pek food bank juga boleh dibeli terus daripada www.petronasmerchandise.com," katanya.

Sementara itu, menurutnya syarikat itu tidak meraih keuntungan daripada sumbangan yang dibuat oleh orang ramai.

"Kami juga bekerjasama erat dengan syarikat berkaitan kerajaan yang lain, rakan perniagaan kami dan dalam kumpulan Petronas untuk meluaskan lagi bantuan dan impak yang lebih besar.

"Ini adalah permulaan yang menggalakkan dan kami berharap dapat berkongsi lebih banyak maklumat terkini mengenai inisiatif ini," katanya.

hm2507pet

Food Bank yang disediakan di stesen Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:05 AM