Ciri terbaharu Setel membolehkan pengguna mengisi petrol hanya dengan satu ketik.
Ciri terbaharu Setel membolehkan pengguna mengisi petrol hanya dengan satu ketik.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Setel menaik taraf pengalaman mengisi petrol buat pengguna kenderaan di Malaysia dengan fungsi 'One-Tap Fuelling'; membolehkan pengguna mengaktifkan pam petrol dengan satu ketik sahaja di mana-mana stesen Petronas seluruh negara.

Solusi yang pertama seumpamanya ini kini tersedia untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang berdaftar di seluruh negara, dan ia akan diperluas secara berperingkat sepanjang dua bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, pihaknya sedang giat menginovasi dan membangunkan solusi yang dapat memenuhi keperluan pengguna yang kian berubah, terutamanya dalam fasa endemik ini di mana warga Malaysia lebih kerap bergerak.

"Sejak empat tahun yang lalu, pengguna setia kami telah menikmati pengalaman mengisi petrol yang lebih mudah di stesen-stesen Petronas.

"Dan kini, pengguna yang biasanya harus membuat beberapa ketikan sebelum dapat mengisi minyak, boleh berbuat demikian dengan satu ketik sahaja menerusi aplikasi Setel.

"Pengguna tidak perlu lagi mengeluarkan dompet atau kad untuk mengisi petrol dan memperoleh mata ganjaran. Sesungguhnya, kami memahami kepentingan sumber masa bagi pengguna," katanya dalam kenyataan.

Pengguna Setel yang berminat juga boleh mendapatkan akses awal dengan memuat naik halaman "Dah Setel So Far" masing-masing dalam bentuk Instagram Story atau Tweet dengan kapsyen: "I want One-Tap Fuelling now", di samping menanda @setel dan sertakan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Mulai hari ini hingga 4 Oktober 2022, pengguna Setel juga berpeluang memenangi kotak hadiah edisi terhad oleh Setel apabila mereka memuat naik video paling kreatif di Instagram atau Twitter yang menunjukkan pengalaman mereka menggunakan fungsi 'One-Tap Fuelling', berserta tag @setel dan tanda pagar #SetelOneTapFuelling.

Melalui fungsi ini, pengguna Setel dapat menetapkan kuantiti petrol yang ingin diisi – mengikut liter atau tangki penuh, di laman 'Keutamaan' semasa mengkonfigurasi fungsi 'One-Tap Fuelling'.

Pengguna juga boleh menetapkan kaedah pembayaran pilihan masing-masing; termasuk CardTerus untuk pembayaran terus atau melalui kad debit atau kredit, serta Setel Share, iaitu kemudahan yang membolehkan pengguna berkongsi Setel Wallet atau CardTerus mereka dengan dua individu lain bagi membuat bayaran sambil bersama-sama meraih mata ganjaran Mesra.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 12:32 PM