AXA Affin General Insurance Berhad
AXA Affin General Insurance Berhad

AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) bekerjasama dengan Setel, aplikasi mudah alih pertama di Malaysia yang mengintegrasikan platform e-pembayaran dengan pam untuk menawarkan perkhidmatan pembelian insurans kereta secara digital dengan cara yang cepat, selamat dan mudah kepada pemandu.

Dengan kerjasama AXA sebagai penyedia insurans pertama bersama Setel, pengguna Setel boleh membeli pelan insurans motor AXA-SmartDrive Enhanced dengan mudah melalui aplikasi Setel.

Pelanggan kini boleh menerima sebut harga segera, membeli insurans motor dan menerima e-polisi mereka, semuanya melalui aplikasi Setel.

Pelanggan juga boleh memperoleh mata ganjaran mesra dengan setiap pembelian insurans motor menggunakan aplikasi ini.

Ia juga dilengkapi dengan pilihan perlindungan yang fleksibel dan mengikut ketetapan masing-masing, membolehkan pengguna mendapat perlindungan segera mengikut keselesaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif AXA, Emmanuel Nivet berkata, pelanggan kini menggunakan kaedah digital untuk membeli dan memperbaharui insurans motor mereka, dengan mengharapkan perkhidmatan yang segera, mudah, diperibadikan dan berpatutan.

"Keutamaannya di sini untuk menyesuaikan diri dengan keperluan yang berubah-ubah, meningkatkan tumpuan kepada pelanggan dan memastikan pengalaman yang lancar di semua peringkat.

"Ini juga akan memperkasakan pelanggan untuk membeli penyelesaian yang sesuai dengan keperluan mereka melalui platform pilihan mereka.

"Disokong keupayaan menawarkan khidmat melalui pelbagai rangkaian kukuh, kami teruja bekerjasama dengan Setel kerana ia bukan saja membuka peluang lebih besar yang akan melengkapkan keseluruhan rantaian nilai, tetapi menawarkan pengalaman insurans dalam talian yang berintegrasi kepada pelanggan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, pihaknya mahu menjadi teman setia kepada pengguna Setel di jalan raya dengan mengubah pengalaman mereka melalui mobiliti berinovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:00 AM