Rosyahaida Abdullah

LEBIH 700 stesen Petronas membabitkan semua negeri di seluruh negara kini dilengkapi kemudahan pembayaran elektronik bagi pembelian bahan api menggunakan aplikasi Setel.

Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Iskandar Ezzahuddin berkata, setakat bulan lalu, Setel merekodkan lebih tiga juta transaksi khususnya pembelian bahan api dengan lebih 60 peratus daripadanya transaksi berulang.

Berdasarkan perkembangan positif itu, pihaknya menyasar aplikasi Setel tersedia di sekurang-kurangnya 1,000 stesen Petronas di seluruh negara pada suku kedua tahun ini.

“Sepanjang lebih setahun Setel tersedia di Lembah Klang, kami menerima maklum balas positif daripada pengguna, malah Setel menjadi antara aplikasi pembayaran paling banyak dimuat turun pada tahun kewangan lalu.

“Sehingga kini, lebih 200 juta mata ganjaran kad Mesra dipaut pada aplikasi Setel ditebus dan semestinya kami menyasar bilangan pengguna Setel terus meningkat apabila aplikasi ini tersedia di lebih banyak stesen.

“Menjelang bulan seterusnya, beberapa ciri tambahan diperkenalkan dan paling penting, seamless (lancar) dan frictionless (tanpa geseran) sebagaimana fokus utama kami untuk pengguna,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad (PDB), Azrul Osman Rani.

DARI kiri, Timbalan Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas,  Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Azrul Osman dan  Iskandar ketika pelancaran Setel untuk seluruh negara, semalam.
DARI kiri, Timbalan Presiden Pemasaran, Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Azrul Osman dan Iskandar ketika pelancaran Setel untuk seluruh negara, semalam.

Menurutnya, aplikasi Setel dibangunkan untuk memberi pengalaman membeli-belah di Kedai Mesra yang lebih baik di mana pembelian boleh dilakukan menerusi aplikasi secara pandu lalu.

Setel yang diperkenalkan pada 2018 adalah aplikasi mudah alih pembayaran elektronik pertama di Asia Tenggara yang membolehkan pengguna membuat pembelian bahan api dari kenderaan mereka sendiri.

Menerusi aplikasi itu, pengguna tidak perlu turun dari kenderaan untuk pembelian bahan api sebaik tiba di stesen Petronas sebaliknya hanya melakukan pembayaran menggunakan aplikasi terbabit yang berpaut terus dengan pam minyak di stesen terbabit.

Sementara itu, Azrul berkata, susulan kedudukan stesen yang terletak di luar bandar, aplikasi Setel mungkin memerlukan masa untuk disediakan di stesen itu.

“Namun, kami optimis peningkatan transaksi menerusi kemudahan aplikasi Setel yang secara langsung menyumbang kepada pendapatan kumpulan,” katanya.

Ditanya mengenai stigma keselamatan di stesen yang memungkinkan masyarakat menolak penggunaan Setel, Azrul berkata, panduan penggunaan Setel yang tersedia dalam aplikasi adalah elemen utama untuk diikuti pengguna.

“Apabila pembayaran dilakukan dalam Setel, akan tertera maklumat tatacara penggunaan Setel antaranya melakukan pembayaran di dalam kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Setel bekerjasama dengan Media Prima Berhad (MPB) dalam menyediakan fungsi undian bagi Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).

Menerusi fungsi itu, pengguna Setel boleh mengundi artis dan lagu pilihan mereka untuk AJL34 dan berpeluang memenangi baucar bahan api bernilai RM1,000 untuk 100 pelanggan bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 7:20 AM