MAYAT lelaki tanpa identiti disyaki dibunuh ditemui di stor besi buruk di Bukit Serdang, Serdang. FOTO Ihsan Polis
MAYAT lelaki tanpa identiti disyaki dibunuh ditemui di stor besi buruk di Bukit Serdang, Serdang. FOTO Ihsan Polis
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Serdang: Mayat lelaki tanpa identiti ditemui disumbat ke dalam dalam guni plastik di sebuah premis stor besi buruk di Taman Bukit Serdang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu daripada seorang lelaki tempatan jam 1.30 petang.

"Pengadu menemui seorang lelaki seorang lelaki bangsa tidak dikenal pasti dalam keadaan terbaring dan disyaki meninggal dunia di stor besi buruk, di belakang Sport Arena Jalan Bersatu BS 5.

"Mangsa disyaki dibunuh dan dimasukkan ke dalam karung guni plastik (jumbo bag) berwarna putih di stor penyimpanan besi buruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat yang tidak berbau pihaknya percaya lelaki terbabit mati tidak lama sebelum ditemui.

Katanya, maklumat terperinci akan diketahui selepas proses bedah siasat selesai dijalankan esok di Hospital Serdang, di sini.

"Siasatan kes diteruskan untuk mengesan dan menangkap kesemua suspek yang dikenal pasti, masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 8:31 PM