POLIS melakukan siasatan di kawasan penemuan mayat lelaki di tepi jalan kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru. FOTO Ihsan Pembaca.
POLIS melakukan siasatan di kawasan penemuan mayat lelaki di tepi jalan kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dua rakan akauntan yang mayatnya ditemukan di kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru di sini, kelmarin, ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, setakat ini dua suspek yang juga rakan mangsa ditahan semalam untuk membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek berusia 25 dan 35 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang, dan kini direman tujuh hari sehingga 18 Disember bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan beberapa kesan kecederaan pada badan mangsa akibat dipukul dengan objek tumpul.

"Bagaimanapun motif pembunuhan dan lokasi sebenar mangsa dibunuh masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 35 tahun itu direman tujuh hari sehingga 18 Disember bagi membantu siasatan.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, seorang lelaki ditemui mati disyaki dibunuh tepi jalan kawasan perindustrian di Kampung Cheras Baru di sini.

Mayat lelaki tempatan itu ditemui kira-kira jam 6 pagi dalam keadaan bogel dan terdapat beberapa kesan kecederaan serta lebam di bahagian badannya.

Mangsa berusia 28 tahun dikenal pasti sebagai seorang akauntan di sebuah syarikat swasta dan disahkan warisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 3:31 PM