LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Individu yang diburu selepas dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kerani kewangan yang mayatnya ditemui disumbat di dalam guni plastik di sebuah stor buruk di Taman Bukit Serdang, di sini, 4 Ogos lalu akan didakwa di mahkamah, pada 28 Ogos ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, lelaki berusia 43 tahun berkenaan berjaya ditahan kira-kira jam 2 pagi pada 22 Ogos lalu.

"Suspek terbabit yang diburu selepas menghilangkan diri sejurus selepas kejadian terbabit kemudian direman selama tujuh hari bermula 22 hingga 28 Ogos ini.

"Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan bersama-sama dengan tiga individu yang sudah dituduh sebelum ini.

"Suspek ini akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah (1) Mahkamah Petaling Jaya pada 28 Ogos nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan bapa dan dua anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 16 Ogos lalu atas pertuduhan menyebabkan kematian kerani kewangan yang mayatnya disumbat dalam guni.

Tertuduh, Datuk V Nanta Kumar, 51, dan dua anak lelakinya, Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Sebelum ini, polis mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Tambi Chai yang dipercayai terbabit dengan kes kematian kerani kewangan berkenaan.

Media melaporkan beberapa kesan pukulan objek tumpul di seluruh badan menjadi punca kematian kerani kewangan berkenaan.

Susulan itu, polis menahan 13 individu termasuk tiga wanita di sekitar Lembah Klang pada 5 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh lelaki warga India berusia 41 tahun itu yang bekerja di syarikat besi buruk berkenaan.

Bagaimanapun, tiga suspek wanita yang juga ahli keluarga majikan mangsa dibebaskan selepas keterangan mereka dirakam.

10 lagi suspek adalah majikan yang juga suspek utama serta ahli keluarganya selain rakan mangsa iaitu pekerja majikan berusia lingkungan 20-an hingga 58 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 7:11 PM