Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Pasukan penyiasat akan pergi ke lokasi penemuan mayat Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, bagi memastikan segala bukti dan petunjuk dikumpulkan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan sejak penemuan mangsa kira-kira jam 10 malam semalam.

"Kita akan panggil semua saksi terdekat dengan kes ini termasuk ibu bapa, jiran dan orang awam yang menemui mangsa malam tadi.

"Kita juga akan ke lokasi mangsa ditemukan bagi mengesan sekiranya terdapat petunjuk baharu," katanya ketika di temui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, di sini, malam ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) susulan hasil bedah siasat yang menemui kecederaan pada badan dan leher suspek.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kanak-kanak autisma, Zayn Rayyan yang dilapor hilang, ditemui meninggal dunia semalam.

Mayat mangsa ditemui jam 10 malam kira-kira 200 meter dari kawasan rumahnya di Damansara Damai, di sini.

Bermula kelmarin, pencarian turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran sekitar 300 meter radius.

Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan kemudian mengesahkan mangsa mati dibunuh selepas bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan pada leher dan badan Zayn Rayyan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 9:26 PM