Dorairaj ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. FOTO NSTP
Dorairaj ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Seorang lagi lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kerani kewangan yang mayatnya disumbat dalam guni di sebuah stor buruk di Taman Bukit Serdang, awal bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh S Dorairaj, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, pemandu lori itu didakwa bersama-sama tiga lagi yang sudah dituduh menyebabkan kematian lelaki warga India, A Vinayagamoorthy, 41.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah tapak besi buruk, di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada 1.30 tengah hari pada 4 Ogos lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika perbuatan menyebabkan kematian itu dilakukan dengan niat atau menyebabkan yang mungkin menyebabkan kematian.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan itu tergolong dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin.

"Meskipun pertuduhan ini tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan. Sekiranya terdapat syarat tambahan, tertuduh bersedia mematuhinya," kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan tiga beranak didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka ialah ahli perniagaan barang lusuh V Nanta Kumar, 51, dan dua anaknya iaitu Miren Ram, 24 serta Krithik Ram, 22.

Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki warga India panik selepas menemui mayat seorang lelaki diletakkan dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang, di sini.

Mayat yang dijumpai disyaki dibunuh dan dimasukkan ke dalam guni plastik (beg jumbo) berwarna putih di tapak stor penyimpanan besi buruk berkenaan.

Berikutan kejadian itu, seramai 13 individu termasuk tiga wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat lelaki berkenaan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada masalah kewangan apabila mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan di syarikat suspek dikatakan mengambil wang syarikat.

Suspek yang menyedari kehilangan wang membabitkan jumlah puluhan ribu ringgit itu kemudiannya membawa si mati dan disimpan di tempat kejadian beberapa hari sebelum dibunuh.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 58 tahun ditahan semalam di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 11:57 AM