SAFIQ (kanan)  bertugas secara berpasukan ketika menangkap ular. FOTO Mohd Rafi Mamat
SAFIQ (kanan) bertugas secara berpasukan ketika menangkap ular. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kebolehan menangkap lebih 500 pelbagai jenis ular dalam tempoh sembilan tahun bertugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuktikan kemahiran dimiliki bukan calang-calang.

Tanpa kemahiran dan peralatan khas, usah cuba menangkap ular berbisa kerana hanya sekelip mata ia mampu menyerang hingga menjemput maut.

Perkara itu ditegaskan Pegawai JBPM, Safiq Mohamad, 29, yang berpengalaman luas berkaitan aktiviti menangkap dan memindahkan pelbagai jenis ular di negara ini.

Beliau berkata, individu yang berhadapan ular berbisa terutama tedung selar perlu bertindak pantas melarikan diri kerana reptilia itu boleh menyerang bila-bila masa terutama apabila merasa dirinya terancam dan cedera.

Katanya, ular berbisa boleh menyerang manusia tanpa diduga dan menyebabkan mangsa gagal bertindak ketika diserang. Hanya sekali patukan sahaja boleh membunuh mangsa jika lambat menerima rawatan.

"Banyak contoh mereka yang profesional serta berpengalaman luas menangkap dan menjinakkan ular berbisa berakhir dengan episod menyedihkan apabila maut dipatuk.

"Saya ingatkan masyarakat supaya tidak mengambil mudah apabila berhadapan ular seperti tedung selar. Sebaliknya segera menghubungi bomba jika mengesan kehadiran reptilia itu di rumah atau premis mereka," katanya.

Safiq yang juga jurulatih kursus pengendalian haiwan berbisa Akademi JBPM Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang Terengganu berkata, beberapa kali dia turut diserang ular tedung selar namun sempat mengelak.


Beliau berkata, penggunaan alat khas untuk menyepit dan menjerut kepala ular amat penting supaya operasi menangkap dan memindahkan reptilia itu berjalan lancar, sekali gus menjamin keselamatan.

Katanya, dalam tempoh 10 bulan tahun ini dia menangkap hampir 30 ular jenis King Cobra yang masuk ke dalam rumah penduduk di kawasan Wakaf Tapai.

Katanya, banyak pengalaman sukar dilupakan sebagai anggota JBPM yang terbabit tugas menangkap ular, antaranya ketika menangkap ular tedung selar sepanjang 4.9 meter beberapa tahun lalu, perasaan gerun dirasai sepanjang operasi.

"Saya pernah menangkap ular sawa batik sepanjang 7.62 meter dengan berat lebih 150 kilogram dibantu beberapa rakan dengan mengambil masa 30 minit untuk menangkap dan memindahkannya di kawasan Wakaf Tapai.

"Kawasan Wakaf Tapai terdapat pelbagai jenis ular. Dalam tempoh 10 bulan tahun ini saya menangkap 30 jenis ular berbisa termasuk ular sawa," katanya.

Safiq berkata, dia juga menganjurkan kursus menangkap ular untuk pegawai dan anggota bomba seluruh negara dengan harapan mereka dapat menjalankan tugas dengan berkesan di kawasan masing-masing.

SAFIQ mengendalikan kursus binatang berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat
SAFIQ mengendalikan kursus binatang berbisa di Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP) Belimbing, Kuantan. FOTO Mohd Rafi Mamat

Katanya, kemahiran dimiliki bukan untuk pertunjukan, tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan sebaik mungkin demi membantu masyarakat.

"Saya belajar teknik menangkap ular daripada beberapa individu berpengalaman dalam bidang ini.

"Pengalaman itu saya gunakan selain dikongsikan dengan pihak lain yang berminat mempelajari teknik menangkap ular berbisa seperti tedung selar.

"Saya bersyukur dapat mencurahkan ilmu kepada lebih 1,000 anggota JBPM termasuk kakitangan awam yang mengikuti kursus haiwan berbisa," katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Menurut bapa seorang cahaya mata lelaki itu, sokongan ketua jabatan, rakan, keluarga dan isteri, Izzah Atirah Mukhtar, 26, menambahkan lagi semangatnya mencurahkan ilmu dan berbakti kepala masyarakat.

Safiq berkata, dia berdoa tugasnya berakhir dengan kejayaan dan selamat terutama setiap kali berhadapan ular berbisa.

Katanya, untuk itu dia perlu mengenali sifat setiap spesies ular, sentiasa tenang dalam pelbagai situasi, kurangkan risiko dan wujudkan ruangan kerja selamat.

"Saya mengendalikan kursus ular lebih 80 siri sepanjang karier termasuk secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:30 AM