SHAMSU menunjukkan tangan dan jarinya yang bengkok akibat dipatuk ular tedung selar pada Jun tahun 2000 di rumahnya di Kampung Hujung Ambar. FOTO/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
SHAMSU menunjukkan tangan dan jarinya yang bengkok akibat dipatuk ular tedung selar pada Jun tahun 2000 di rumahnya di Kampung Hujung Ambar. FOTO/NOORAZURA ABDUL RAHMAN
Noorazura Abdul Rahman

cnews.nstp.com.my

BIARPUN sudah bersara sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) tahun lalu, namun bagi Shamsu Shahid, 61, dia tetap akan terus menabur bakti kepada masyarakat berikutan kepakarannya dalam mengendali haiwan berbisa.

Berpengalaman hampir 50 tahun mengendali ular, Shamsu atau lebih dikenali sebagai Sam berkata, dia tidak lokek memperturunkan ilmu kepada sesiapa sahaja kerana tahu khidmat menangkap ular akan tetap diperlukan kerana habitatnya semakin terancam.

“Akhir-akhir ini saya lihat semakin banyak kes anggota APM keluar menangkap ular terutama di kawasan luar bandar, saya sendiri masih menerima panggilan daripada penduduk kampung dan juga kenalan untuk membantu mereka menangkap ular.

“Selagi mampu saya akan lakukan kerana tidak semua orang berani dan mempunyai ilmu (teknik) mengendali reptilia berbisa terutama ular tedung yang boleh membunuh.

“Sehingga kini saya masih lagi dijemput memberikan ceramah supaya masyarakat lebih mengenali haiwan ini dari dekat,” katanya yang sudah menangkap lebih 3,000 ekor ular.

Walaupun dia mahir mengendali haiwan berbisa itu, namun bapa kepada lima orang anak ini juga tidak terkecuali dipatuk reptilia itu sehingga terpaksa dirawat selama sebulan di hospital.

Katanya, pengalaman dipatuk ular tedung selar pada Jun 2000 menyebabkan jari telunjuk tangan kanannya bengkok selain menjadi buruk sehingga doktor perlu menggantikan kulit tangan daripada kulit paha.

“Selepas itu saya pernah dipatuk sebanyak tiga kali dengan ular tedung senduk, salah satu daripada patukan itu saya dimasukkan ke hospital selama sehari manakala dua lagi saya hanya dapatkan perubatan cara tradisional dengan makan daun dari pokok bisa ular atau nama santifiknya barleria lupulina.

“Bagaimanapun itu sebagai alternatif sahaja dan saya sangat sarankan orang ramai yang dipatuk ular pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya tinggal di Kampung Ambar Hujung di Alor Setar.

Menurut Sam, menangkap ular bukan sahaja perlu berani tetapi juga memerlukan keyakinan diri.

Katanya, dia beruntung didedahkan dengan ular sejak berusia 12 tahun oleh arwah datuknya.

Bagaimanapun pada usia itu, dia hanya dibenarkan bermain dengan ular yang tidak berbisa sehinggalah pada usia 20 tahun barulah datuknya mengajar cara mengendali ular berbisa.

“Cara datuk saya ajar dengan teknik APM sama sahaja, cuma dalam APM kita perlu mengikut prosuder operasi standard (SOP) selain perlu menggunakan peralatan khas.

“Saya tidak mengamalkan ilmu penunduk ular, cukup sekadar dengan membaca bismillah sebagai pelindung,” katanya yang kini mempunyai seorang cucu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 10:49 AM