SAFIQ (kanan) memantau peserta kursus mengendali dan menangkap ular sawa.
SAFIQ (kanan) memantau peserta kursus mengendali dan menangkap ular sawa.
HM Digital

Tugas menangkap ular berbisa bukan sesuatu yang mudah kerana ia menguji keupayaan mental dan fizikal khususnya pasukan penyelamat.

Ular biasanya ‘menumpang’ di tempat yang sejuk dan terlindung terutama kediaman penduduk bagi mendapatkan perlindungan malah boleh menyerang manusia sekiranya rasa terancam.

Berikutan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menganjurkan Kursus Asas Pengendalian dan Menangkap Haiwan Berbisa untuk melatih anggota bomba di negeri ini supaya mahir menangkap ular, baru-baru ini.

Kursus yang diadakan selama lima hari itu disertai 25 peserta termasuk pegawai bomba.

Jurulatih Akademi Bomba Wilayah Timur, Pegawai Bomba Safiq Mohamad berkata, menangkap ular sawa sebenarnya lebih sukar dan mencabar berbanding tedung selar dan tedung senduk. Ini kerana ular sawa berupaya membelit dengan kuat untuk melemahkan mangsa.

Katanya, melalui kursus ini beliau bersama seorang lagi jurulatih, Pegawai Bomba Noramey Abdul Halim mengajar anggota bomba berkenaan teknik menangkap ular yang betul walaupun semua peserta mempunyai pengalaman ketika menjalankan operasi setiap hari.

“Bagi menangkap ular sawa, anggota bomba memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat orang bagi mengelakkan ia membelit disebabkan saiznya yang berat dan besar.

“Kesilapan teknik dan cara menangkap reptilia itu boleh menyebabkan anggota dipatuk dan berkemungkinan besar mengancam nyawa. Bisa ular tedung selar umpamanya cepat meresap ke dalam darah.

“Melalui kursus ini mereka diberi penerangan berkenaan pengenalan spesies ular sama ada berbisa atau tidak, kesan patukan, teknik menangkap dan latihan keyakinan supaya mereka bersedia serta sentiasa peka ketika menjalankan tugas menangkap reptilia itu,” katanya.

Safiq berkata, sepanjang kursus itu peserta juga turut melakukan simulasi menangkap ular yang dibahagikan kepada beberapa pasukan yang diadakan ketika sesi siang dan malam.

Selain itu, peserta juga turut diberi tunjuk ajar berkenaan rawatan awal ketika dipatuk, sifat, habitat ular dan teori Akta 716 Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Peserta kursus, Salim Abdul Razak, 48, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar berkata, kursus itu sangat menarik untuk anggota bomba kerana sedikit sebanyak menambah pengetahuan mereka.

Katanya, sebelum ini dia menjalankan operasi menangkap ular bersama rakan sepasukan malah rasa takut itu masih ada kerana berhadapan dengan ular berbisa.

“Saya bermula dengan kosong hingga boleh cium mulut ular tedung selar kerana sebelum ini banyak dibantu rakan sepasukan. Namun kali ini, peserta kursus perlu menjalani latihan setiap seorang bagi mengendalikan ular.

“Rasa tercabar terutama ketika latihan keyakinan berdepan dengan ular kerana kami perlu berdiam diri ketika ular tedung selar menjalar ke seluruh bahagian badan.

“Jurulatih juga memberi arahan supaya kami tidak tersilap langkah kerana ular tedung selar biasanya akan mematuk sekiranya berasa terancam dan bisanya menyerap mengikut perjalanan darah,” katanya.

Peserta lain, Muhammad Naif Ammar Ismail, 23, dari BBP Persiaran Putra, Langkawi berkata, walaupun baru bertugas tiga tahun sebagai anggota bomba namun menangkap ular kecil sudah biasa dilakukan.

Katanya, apabila diberi tugasan menangkap ular lebih besar dan berbisa, dia lebih bersemangat malah akan cuba memberi tunjuk ajar kepada rakan lain di balai nanti. -Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:54 AM