Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: "Kalau tidak membelai ular dalam sehari memang tidak sah, jika tidak menangkap ular liar saya akan bermain dengan ular latihan bomba," kata Malek Denan.

Malek, 39, dari Kampung Bukit Kulim, Pengkalan Berangan antara penangkap ular tradisional yang masih aktif menjalankan tanggungjawab secara sukarela itu di sekitar Marang dan Kuala Terengganu.

Katanya, dia aktif dalam kegiatan menangkap ular liar sejak 20017 selepas mendapat bimbingan Jurulatih Pengendalian Haiwan Berbisa Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai (ABPMWT), Pegawai Bomba Safiq Mohamad.

"Saya meminati bidang menangkap ular itu sejak masih bersekolah dan pernah beberapa kali menangkap ular berbisa yang memasuki rumah penduduk pada usia 17 tahun.

"Bermula daripada itu saya sering membantu penduduk yang berhadapan dengan masalah ular.

"Cuma pada ketika itu hanya ular tedung senduk dan ular sawa sahaja yang ditangkap kerana risikonya kecil malah menggunakan teknik tradisional," katanya.

Katanya, dia semakin aktif dan berkeyakinan menjalankan perkhidmatan itu selepas mendapat bimbingan ABPMWT seterusnya mempunyai pengetahuan luas berkaitan ular.

"Safiq banyak memberi tunjuk ajar dalam teknik menangkap ular berbisa terutama ketika berhadapan ular tedung selar.

"Sehingga kini lebih 200 pelbagai jenis ular termasuk 10 ekor ular tedung selar yang sudah ditangkap.

"Paling besar dan bahaya pernah ditangkap ialah ular tedung selar sepanjang empat meter pada tahun lalu," katanya .

Menurutnya, dia mendapat bantuan peralatan menangkap ular daripada Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan pada 2018.

"Memandangkan saya menyediakan perkhidmatan menangkap ular itu secara sukarela dan tanpa sebarang caj, saya layak menerima sumbangan peralatan itu.

"Bantuan peralatan itu sebagai tanda menghargai dan sokongan ke atas khidmat masyarakat yang dijalankan oleh saya.

"Alhamdulillah, sejak mempunyai peralatan khas itu, proses menangkap ular semakin mudah dan cepat," katanya.

Bercerita mengenai hobinya bermain dengan ular katanya, aktiviti itu dijalankan setiap hari.

"Bermain dengan ular sudah menjadi kebiasaan kepada saya. Seakan sudah terkena badi ular.

"Jika tidak bermain dengan ular dalam sehari berasa tidak lengkap. Biasanya saya mengambil masa 45 minit hingga sejam bermain dengan ular.

"Selain bermain dengan ular, kemahiran dan keyakinan menangkap ular juga dapat dipertingkatkan," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah mengalami kejadian tidak diingini ketika menangani kes ular liar.

"Dipatuk ular berbisa tidak pernah tetapi digigit ular sawa itu sudah terbiasa.

"Saya sentiasa menitik beratkan langkah keselamatan ketika menangkap ular oleh itu risiko ditimpa kemalangan boleh dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Safiq berkata, dia tidak menggalakkan aktiviti bermain dengan ular sebagai acara pertunjukan untuk menarik perhatian orang ramai di tempat awam.

"Ular ialah haiwan berbisa dan bersifat liar oleh itu tindak balas ular boleh berubah pada bila-bila masa.

"Bahaya bermain dengan ular sekiranya tidak mempunyai kepakaran dan latihan khas oleh itu saya tidak menggalakkan orang awam termasuk penangkap ular mengambil risiko bermain dengan haiwan itu," katanya.

Malek Denan menunjukkan kebolehannya menjinakkan ular tedung selar. FOTO/AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Malek Denan menunjukkan kebolehannya menjinakkan ular tedung selar. FOTO/AHMAD RABIUL ZULKIFLI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 2:06 PM