Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Walaupun tubuhnya sudah 'dihinggapi' lebih 3,000 patukan ular berbisa, Mohd Hamdan Mahadi atau turut dikenali sebagai Raja Ular Kelantan tidak pernah serik malah masih aktif dalam pertunjukan ular berbisa selain menjadi penangkap haiwan itu secara sukarela.

Mohd Hamdan, 37, berkata, dia sentiasa mementingkan keselamatan ketika menangkap ular diutamakan bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

Katanya, ular berbisa menyerang manusia tanpa diduga dan hanya sekali patukan sahaja boleh membunuh mangsa jika lambat menerima rawatan.

"Namun sepanjang lebih 25 tahun berkhidmat sebagai penangkap ular selain kerap berhadapan dengan pelbagai spesies ular berbisa, hanya beberapa kali sahaja saya ditahan dalam wad bagi membuang bisa patukan ular.

MOHD Hamdan menunjukkan tedung selar yang ditangkapnya. FOTO Ihsan Mohd Hamdan Mahadi
MOHD Hamdan menunjukkan tedung selar yang ditangkapnya. FOTO Ihsan Mohd Hamdan Mahadi

"Saya tidak mempunyai ilmu formal atau menghadiri kursus menangkap ular, namun kepakaran menangani haiwan ini datang dengan sendiri.

"Saya menggunakan kemahiran dimiliki bukan untuk pertunjukan, tetapi khusus bagi menjalankan tugas dan kebolehan itu perlu digunakan sebaik mungkin demi membantu masyarakat," katanya ketika ditemui di Kuala Krai di sini, kelmarin.

Bapa kepada empat anak berusia empat hingga 10 tahun ini berkata, dia meminati bidang menangkap ular sejak berusia sembilan tahun dan pernah beberapa kali menangkap ular berbisa yang memasuki rumah penduduk.

"Saya menyediakan perkhidmatan menangkap ular secara sukarela, bukan sahaja di Kelantan, malah ada juga masyarakat dari Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor mempercayai serta yakin dengan kebolehan saya menangkap haiwan berbisa.

MOHD Hamdan menunjukkan kesan patukan ular tedung selar pada jari tangannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
MOHD Hamdan menunjukkan kesan patukan ular tedung selar pada jari tangannya. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Sehingga kini saya sudah menangkap lebih 5,000 pelbagai jenis ular termasuk ular berbisa dan paling besar dan bahaya yang pernah ditangkap ialah ular tedung selar sepanjang lebih lima meter pada tahun ini," katanya.

Katanya, selain aktif menangkap ular, dia pernah mendapat undangan mengadakan pertunjukan di beberapa negara seperti India, Thailand, dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 7:05 AM