Sayuti  meletakkan ular tedung selar di dalam sangkar sebelum dilepaskan ke kawasan hutan.
Sayuti meletakkan ular tedung selar di dalam sangkar sebelum dilepaskan ke kawasan hutan.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: “Jangan putus semangat, teruskan berkhidmat kepada masyarakat kerana ajal dan maut di tangan Allah bukan ular,” kata Sayuti Harun, 72, penangkap ular berpengalaman dari Wakaf Tapai, di sini.

Sayuti atau lebih dikenali sebagai Pak Da Ular berkata, kematian anggota bomba, Abu Zarin Hussin akibat dipatuk ular tedung selar, Mac lalu wajar dijadikan pengajaran dan pedoman, bukan sebagai alasan untuk berhenti menjadi penangkap ular.

“Risiko dipatuk ular menjadi asam garam apabila bermain dengan reptilia ini, namun tidak bermakna penangkap ular perlu merelakan diri mereka dipatuk haiwan itu.

“Tidak cukup sekadar kita berani saja kerana kebanyakan penangkap ular sekarang hanya berpandukan keberanian, tetapi tidak berilmu.

“Apa saja bidang yang kita ceburi perlu mempunyai ilmu, lebih-lebih lagi jika ia berisiko seperti itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Bilis, Wakaf Tapai di sini.

Dia sendiri pernah dipatuk pelbagai jenis ular lebih 100 kali sepanjang menjalankan kegiatan menangkap ular sejak 1970.

Mengakui kerap dipatuk ular tedung selar dan senduk, namun dirinya selamat kerana rawatan dan petua yang diamalkan.

“Saya mempunyai lebih 10 anak didik dan kebanyakannya dalam kalangan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

“Mereka saya perturunkan petua dan kaedah yang sesuai untuk berhadapan reptilia berbisa,” katanya yang sudah menjinakkan lebih 1,000 ular dan mengakui ular tedung selar paling mencabar.

Selain menangkap ular, Pak Da juga menawarkan perkhidmatan merawat pelbagai jenis penyakit termasuk mengeluarkan bisa mereka yang dipatuk haiwan berbisa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:16 AM