MOHD Zu menunjukkan di tangannya yang cacat akibat dipatuk ular tedung senduk.
MOHD Zu menunjukkan di tangannya yang cacat akibat dipatuk ular tedung senduk.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Besut: “Sampai bila-bila pun saya akan tetap berkhidmat kepada masyarakat walaupun nyawa sendiri dalam bahaya,” kata Mohd Zu Mohd Nor, 33, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Dia yang berkhidmat bersama pasukan itu sejak 2004 dan aktif menangkap ular apabila diperlukan perkhidmatannya.

Mohd Zu mengakui dia terkejut apabila mengetahui kematian idolanya yang juga anggota dan pakar ular Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Abu Zarin Hussin akibat dipatuk ular tedung selar pada 16 Mac lalu.

Menurutnya, kehilangan anggota bomba itu yang terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi individu berkemahiran itu.

“Arwah Abu Zarin memang idola saya sejak dulu lagi kerana dia memiliki kepakaran luar biasa ketika menjinakkan reptilia itu terutama ular tedung selar.

“Sudah adat penjinak ular sentiasa terdedah dengan bahaya dan risiko dipatuk reptilia itu, tetapi semuanya terpaksa diketepikan demi khidmat kepada masyarakat.

“Insya-Allah saya akan teruskan perkhidmatan ini dan menyambung kerja pernah dilakukan arwah,” katanya di APM di Jerteh, di sini.

PARUT kekal di tangannya yang cacat akibat dipatuk ular tedung senduk.
PARUT kekal di tangannya yang cacat akibat dipatuk ular tedung senduk.

Mohd Zu berkata, dia sendiri sudah lima kali dipatuk ular dan pengalaman tidak dilupakan apabila dipatuk ular senduk pada 2010 di Kampung Wakaf Tengah.

“Saya bernasib baik kerana cepat dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima rawatan, namun tangan kanan saya cacat seumur hidup akibat bisa ular itu,” katanya.

Menurutnya, sudah lebih 200 ular sawa ditangkapnya selain 12 spesis tedung dan dia banyak menimba ilmu dengan pakar ular tempatan di Wakaf Tapai, Mohd Sayuti Harun, 72, atau lebih dikenali Pak Da Ular.

“Banyak ilmu dan petua yang saya peroleh daripada Pak Da apabila berhadapan ular berbisa dan pantang larang itu selalu saya ingat untuk pastikan diri selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kejadian yang menimpa arwah Abu Zahrin memberi teladan kepada semua anggota APM supaya lebih berhati-hati ketika menangani reptilia berbisa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:40 AM