GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusri Abd Malek

Hossin sudah bangun seawal jam 4 pagi untuk menjalankan perniagaan menjual sayur-sayuran di kaki lima tepi Pasar Borong Selayang sejak memasuki negara ini sebagai pelarian pada 2017. Itulah pekerjaan yang mampu dilakukan demi menyara isteri dan dua anaknya yang tinggal di kawasan berhampiran.

Baginya, walaupun pendapatan hanya RM50 sehari selepas ditolak modal, namun ia cukup untuk makan, minum dan membayar sewa. Anaknya berusia 8 dan 10 tahun juga tidak bersekolah. Mereka hanya bermain sesama sendiri bersama anak etnik yang lain.

Beliau bersyukur dapat datang ke negara ini dan menjalani kehidupan yang aman walaupun masih berhasrat pulang ke tanah air suatu hari nanti. Dahulu, beliau bertani sebelum melarikan diri bersama rakan sekampung ke Malaysia dengan menaiki bot akibat serangan tentera ke atas kampungnya.

Dia dan isteri juga memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ramai lagi dalam kalangan mereka yang tidak memiliki kad itu, sebaliknya mendapatkan melalui ejen yang dipercayai kad yang dipalsukan.

Ini membuktikan kad berkenaan boleh dipalsukan, malah sebelum ini ada seorang Ahli Parlimen mendedahkan kad itu boleh dibeli di Chow Kit pada harga RM80 sekeping.

Dengan kad itu, mereka bebas melakukan aktiviti perniagaan dan pihak berkuasa negara pun tidak boleh menyentuh mereka.

Lama-kelamaan mereka 'naik tocang'dan menganggap negara ini seperti negara sendiri hingga menimbulkan pelbagai masalah.

Sebelum ini, Malaysia bercadang menguatkuasakan penggunaan kad pengenalan khas (MyRC) yang mengandungi data peribadi sebagai dokumen tunggal sah kepada pelarian bagi menggantikan kad UNHCR yang diragui pengeluarannya kerana jumlah kad dikeluarkan bertambah setiap tahun.

Ini secara tidak langsung membolehkan kerajaan mengumpul data peribadi semua pelarian di negara ini terutama etnik Rohingya yang menjadi pelarian terbesar melalui Pusat Pendaftaran Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS).

TRIS platform mengumpul maklumat pelarian dan pencari suaka bagi membolehkan kerajaan memantau semua pelarian dengan maklumatnya diselaras dengan pangkalan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini bermakna pemegang kad boleh dipantau melalui pemeriksaan berkala atau melalui operasi pihak penguatkuasaan.

Namun selepas pertukaran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 lalu, belum ada lagi kedengaran mengenai sama ada KDN diterajui menteri baharu mahu meneruskan hasrat menteri terdahulu. Difahamkam juga sistem pendaftaran itu sudah boleh digunakan.

Bagi penulis, soal keselamatan negara paling utama, lupakan pegangan politik. Jika usaha dibuat adalah baik, teruskan saja. Lagipun, kita bukanlah negara yang menjadi anggota kepada konvensyen mengenai status pelarian 1951 atau protokol status pelarian 1967 UN yang mewajibkan negara menyediakan kemudahan kesihatan, pendidikan dan perumahan untuk pelarian.

Jadi sebenarnya kerajaan tidak perlu pun mengiktiraf kad UNHCR itu.

Dengan ada kad dikeluarkan kerajaan, mereka yang memilikinya saja boleh tinggal di negara ini untuk tempoh tertentu manakala yang tiada kad dianggap sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati) dan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk diusir.

Penulis berasa isu etnik Rohingya ini memang meletihkan dan perlu segera ditamatkan. Pengemis dalam kalangan mereka sudah makin ramai, malah anak mereka juga ramai dan memerlukan pendidikan serta penjagaan kesihatan.

Negara kita tidak berupaya menampung anak pelarian ini, anak kita masih ada lagi yang tercicir dan masih ramai belum mendapat penjagaan kesihatan terbaik.

Andai kita berhasrat membantu mereka mungkin dengan penggunaan MyRC ini yang lengkap dengan data peribadi dan direkodnya, mereka boleh diserap untuk bekerja di sektor perkilangan, perkhidmatan dan industri bagi membolehkan mereka menampung hidup selama berada di negara ini.

Dahulu, negara kita mahu jadi juara kemanusiaan hingga berpuluh badan bukan kerajaan (NGO) bergabung menghantar makanan ke Myanmar menyebabkan mereka datang berbondong-bondong dengan anggapan kita mengalu-alukan kehadiran mereka.

Ambil contoh di Aceh, Sumatera, Indonesia, rakyatnya bangkit menolak kehadiran kira-kira 1,700 etnik Rohingya yang baru tiba di negara ini sejak sebulan lalu dan dipulangkan ke negara asal.

Mereka sudah bosan kerana menganggap etnik ini pengotor dan tidak menghormati warga tempatan. Penduduk bersatu menolak kemasukan etnik ini kerana berdasarkan siasatan polis negara itu, etnik berkenaan bukan boleh dianggap sebagai pelarian sebaliknya membayar sehingga RM5,000 seorang kepada tekong darat untuk membawa mereka dan keluarga ke Indonesia.

Namun akhirnya Indonesia membenarkan pelarian terbabit ditempatkan di Pulau Galang, Kepulauan Riau yang sebelum ini pernah digunakan untuk menampung 250,000 pelarian Vietnam ketika era 70-an.

Penulis Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 5:59 AM